Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) ke-11 di Kaherah, Mesir, pada 18 dan 19 Disember 2024.
Bertemakan “Investing in Youth and Supporting SMEs: Shaping Tomorrow’s Economy”, sidang ini bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi antara negara anggota D-8 iaitu sebuah kumpulan negara-negara Islam membangun yang membentuk satu pakatan pembangunan ekonomi yang terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.
Bagi Sidang Kemuncak yang akan berlangsung di Kaherah kali ini, Dr Zambry dijangka akan memberi Kenyataan Menteri di Majlis Menteri-Menteri D-8 ke-21 yang akan diadakan pada 18 Disember 2024.
Seterusnya, pada 19 Disember 2024, beliau akan menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak ke-11 D-8 dan juga Kenyataan Negara dalam Sidang Khas mengenai Situasi di Palestin dan Lubnan kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Kementerian itu lagi, Sidang Kemuncak D-8 kali ini juga akan dihadiri oleh Ketua-ketua Negara dan Kerajaan D-8 termasuk Presiden Mesir, Presiden Indonesia, Presiden Iran, Presiden Turki dan Perdana Menteri Pakistan.
Dr Zambry dijangka akan menyampaikan polisi dan inisiatif negara dalam meningkatkan kebolehupayaan dan kesiapsiagaan belia Malaysia bagi memacu dan meningkatkan ekonomi negara, dan berkongsi pandangan Malaysia dalam mengukuhkan lagi peranan D-8 dalam meningkatkan sosio-ekonomi Negara-negara Anggota, serta cadangan kerjasama yang boleh dijalinkan dan ditingkatkan dalam kalangan negara D-8 di pelbagai peringkat.
Selain itu, beberapa mesyuarat dua hala juga akan diadakan bersama dengan wakil Negara-negara Anggota D-8 yang lain di sela-sela Sidang Kemuncak tersebut.