KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Klang hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan terhadap penceramah selebriti, Azman Syah Alias atas empat pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki bawah umur, dua tahun lalu.
Hakim, Datuk Surita Budin turut memerintahkan tertuduh yang juga dikenali sebagai PU Azman untuk menjalani kaunseling pemulihan selama dua tahun dan pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.
Hukuman dijatuhkan selepas Azman Syah, 43, mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan pada prosiding sebutan semula kes, hari ini.
Terdahulu, Surita memaklumkan dia membuat keputusan itu dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kepentingan awam melebihi faktor kepentingan tertuduh sendiri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap dua mangsa lelaki berusia 16 dan 17 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai antara jam 8.30 malam hingga 5 pagi pada 5 Februari 2022 dan 6 Julai 2022.
Peguam, Mohamad Zahid Ahmad dalam rayuannya berkata, pengakuan salah anak guamnya menjimatkan masa semua pihak dan tidak perlu lagi menyambung perbicaraan.
Jelasnya, tertuduh, seorang duda memohon ampun dan maaf atas kesalahan dilakukan serta mengaku sudah insaf selain tiada kesalahan lain dan tidak pernah disabitkan dengan apa-apa kesalahan di mahkamah sebelum ini.
“Tertuduh mohon hukuman pemenjaraan yang paling minimum dari tarikh beliau dijamin iaitu 9 Oktober lalu.
“Beliau telah dipenjara dari 27 September lalu dan sehingga kini masih menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan di Mahkamah Klang,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi berkata, pengakuan salah tertuduh bukanlah satu faktor peringanan yang harus diberi kepada tertuduh.
Rasyidah Murni juga memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran bukan saja harus diberikan kepada tertuduh malah kepada masyarakat secara amnya.
“Tertuduh adalah pendakwah selebriti yang mana perbuatan itu tidak harus dilakukan oleh tokoh pendakwah seperti beliau terhadap kanak-kanak.
“Pendakwaan memandang kesalahan ini bukanlah satu perkara mudah yang harus diambil keringanan dalam menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh,” katanya.
Pada 27 September lalu, Azman Syah dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang, Selangor selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lalu.
Hakim Noridah Adam membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Azman dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban pada 12 Oktober 2022 atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai 2022.