Polis Tahan Guru Taska Selepas Keluarga Buat Laporan Bayi 11 Bulan Cedera Dicubit

KUALA LUMPUR: Seorang guru taska warga tempatan berusia 24 tahun ditahan polis selepas disyaki mendera bayi lelaki berusia 11 bulan sehingga cedera di pipi dan telinga, di sebuah premis asuhan di Puncak Alam pada 14 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, tangkapan terhadap suspek dilakukan pada pukul 6.50 petang.

Mohd Hafiz memaklumkan bapa mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh berhubung kejadian itu pukul 1.16 tengahari hari.

“Berdasarkan laporan diterima, ibu manga menyedari kejadian itu selepas mengambil bayinya dari taska berkenaan sekitar pukul 6.15 petang pada Jumaat lalu.

“Guru taska itu memaklumkan pada ibu mangsa berkenaan kesan lebam pada pipi dan telinga sebelah kanan anaknya berpunca mangsa jatuh daripada meja di taska terbabit.

“Bagaimanapun pukul 7.30 malam, penyelia taska telah menghubungi bapa mangsa dan memaklumkan kecederaan pada mangsa itu akibat daripada perbuatan pekerjanya,” katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, Mohd Hafiz berkata, bapa mangsa tampil membuat laporan polis sebelum merujuk anaknya ke Hospital Sungai Buloh bagi tindakan selanjutnya.

“Berikutan itu, proses permohonan reman ke atas suspek telah dibuat di Mahkamah Shah Alam dan mahkamah membenarkan suspek direman sehingga 18 Disember ini untuk siasatan.

“Setakat ini, kita telah memanggil empat saksi untuk beri keterangan selain melakukan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” jelasnya.

Ujarnya, semakan awal rakaman CCTV mendapati terdapat unsur penderaan dilakukan suspek ke atas bayi lelaki itu selain suspek sudah bekerja di taska terbabit kira-kira tiga tahun lalu.

Mohd Hafiz menambah, siasatan sedang dijalankan dibawah Seksye 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

BBerkaitan

Latest articles