Washington, DC – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah memuji langkah pembaharuan ekonomi Malaysia, termasuk pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 dan kejayaan reformasi subsidi elektrik dan diesel.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan ketua pasukan IMF, Masahiro Nozaki, prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh pada tahun 2024 memberi peluang untuk memperkukuhkan agenda pembaharuan struktur negara.
IMF, melalui Artikel IV Konsultasi 2025 yang berlangsung dari 3 hingga 13 Disember 2024, menyeru Malaysia untuk terus mempercepatkan pelaksanaan pembaharuan di bawah Rangka Kerja Ekonomi MADANI, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif di tengah ketidaktentuan global.
MF melaporkan bahawa ekonomi Malaysia mencatatkan prestasi cemerlang pada 2024, disokong oleh permintaan domestik dan luaran yang kukuh. Namun, pertumbuhan dijangka menyederhana daripada 5.0% pada 2024 kepada 4.7% pada 2025, dipengaruhi oleh pelaburan yang perlahan dan risiko global, termasuk fragmentasi geoekonomi.
Potensi peningkatan pertumbuhan dapat dicapai melalui pelaksanaan projek pelaburan besar yang lebih cepat daripada jangkaan, tetapi risiko penurunan tetap ada kerana ketidaktentuan ekonomi global.
Inflasi dan Komitmen Pembaharuan Fiskal
Inflasi kekal stabil pada 2.0% sepanjang 2024. Bagaimanapun, ia dijangka meningkat kepada 2.6% pada 2025, didorong oleh reformasi subsidi RON95 yang dirancang untuk pertengahan tahun depan dan keadaan pasaran buruh yang ketat.
IMF menyambut baik usaha kerajaan untuk penyatuan fiskal dan menyasarkan subsidi secara lebih cekap. Ia mengesyorkan langkah-langkah berikut untuk meningkatkan kestabilan fiskal:
- Pembaharuan subsidi yang lebih meluas.
- Sistem percukaian yang cekap dan luas bagi meningkatkan hasil pendapatan negara.
- Bantuan tunai yang disasarkan untuk melindungi golongan rentan daripada kesan reformasi.
Sektor Kewangan dan Dasar Monetari
Sektor kewangan Malaysia kekal kukuh, dengan bank-bank menunjukkan kedudukan modal dan mudah tunai yang mantap. IMF menyatakan bahawa dasar monetari neutral semasa adalah wajar tetapi menekankan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) perlu bersedia mengetatkan dasar sekiranya risiko inflasi meningkat. Mengekalkan fleksibiliti kadar pertukaran juga disarankan untuk melindungi kestabilan ekonomi.
Keutamaan Pembaharuan Struktural
IMF menekankan pentingnya pelaksanaan tepat waktu terhadap agenda pembaharuan struktur kerajaan untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan inklusif. Antara keutamaan yang disarankan adalah:
- Memperkuat jaringan keselamatan sosial melalui pangkalan data digital Pangkalan Data Utama (PADU).
- Peralihan kepada sifar bersih karbon untuk menangani perubahan iklim.
- Peningkatan kesiapsiagaan teknologi termasuk dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI).
Memperkukuh tadbir urus dan rangka kerja anti-rasuah.
Secara keseluruhan IMF memuji komitmen Malaysia terhadap pembaharuan ekonomi dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia serta Bank Negara Malaysia atas perbincangan yang produktif sepanjang konsultasi.
Menurut IMF, Malaysia berada di kedudukan strategik untuk mengatasi cabaran global dan menjadi model dalam membangunkan ekonomi berdaya tahan dan mampan.
Dengan pembaharuan yang diteruskan di bawah Ekonomi MADANI, Malaysia mampu meningkatkan daya saing ekonomi dan memastikan kestabilan jangka panjang.