Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang berusaha untuk melengkapkan semua universiti awam di Malaysia dengan perkhidmatan internet yang lebih baik. Perkara ini termasuk menangani isu liputan luar bangunan (mobile outdoor coverage), liputan dalam bangunan (in-building coverage), dan capaian WiFi.
Menurut Fahmi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan perbincangan dengan semua universiti untuk mengatasi isu-isu ini. Sebagai langkah awal, tiga universiti telah dikenal pasti untuk pelaksanaan segera, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
“Sebanyak RM13.7 juta akan diperuntukkan oleh MCMC untuk memasang lebih daripada 2,000 access point WiFi di tiga universiti ini. Proses pemasangan peralatan WiFi ini kata Fahmi pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Beliau juga menyatakan bahawa selepas tiga universiti ini dilengkapi, usaha yang sama akan diperluaskan ke universiti-universiti awam lain di seluruh negara.
Dalam pada itu, ketika Menjawab pertanyaan mengenai pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Data Maklumat Malaysia (SDMM) yang dibawa ke Jawatankuasa Khas, Fahmi menjelaskan bahawa beberapa pindaan pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA), termasuk Seksyen 233, memerlukan perbincangan lebih mendalam melalui mekanisme yang tersedia.
“Kami telah mewujudkan content forum, sebuah badan bebas yang membolehkan industri dan pihak berkepentingan memberikan pandangan tentang isu-isu seperti tafsiran istilah ‘jelik’ yang kini ditambah dengan ‘jelik melampau’ selepas pindaan. Proses ini dilakukan secara telus tanpa melibatkan MCMC secara langsung,” jelasnya.
Beliau turut mengakui bahawa terdapat keperluan untuk meningkatkan kapasiti MCMC, termasuk penambahan kakitangan dan nilai kontrak yang lebih besar bagi operasi. Semua isu ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen serta senator untuk penelitian lanjut.
“Apa yang penting adalah memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pelaksanaan undang-undang ini, dan kita berharap melalui jawatankuasa khas ini, perkara tersebut dapat diteliti secara mendalam,” kata Fahmi.
Beliau menyimpulkan sesi dengan menegaskan komitmen kerajaan untuk memperbaiki infrastruktur komunikasi dan memastikan keperluan pelajar serta universiti dipenuhi dengan sebaiknya.