KUALA LUMPUR: Komuniti antarabangsa perlu bangkit untuk menegakkan semula prinsip asas keadilan dan kesaksamaan yang menjadi tunjang kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Anwar mempersoalkan jurang antara misi asal PBB dengan toleransi dunia terhadap amalan kolonialisme pada masa kini.
“PBB ditubuhkan untuk menentang kolonialisme, namun hari ini dunia seolah-olah membenarkan dan menerima kolonialisme.
“Di Palestin, harta benda mereka dirampas, kekayaan mereka diranap dan tanah serta nyawa mereka dilenyapkan. Keheningan dunia terhadap perkara ini amat mengejutkan,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kumpulan Visi Strategik: Interaksi Antara Rusia dan Dunia Islam, hari ini.
Anwar, dalam masa yang sama menyeru komuniti antarabangsa untuk memulihkan nilai moral yang telah merosot dengan menegaskan bahawa kegagalan dunia menangani isu berkenaan membuktikan keadilan semakin terhakis.
Anwar turut mengkritik hipokrasi negara-negara yang memperjuangkan hak asasi manusia dan demokrasi, namun menutup mata terhadap pelanggaran yang jelas.
“Mengapa bercakap tentang moral dan hak asasi manusia apabila ketidakadilan seperti ini diabaikan? Wujud jurang yang jelas antara apa yang diperkatakan dengan apa yang diamalkan,” katanya.
Beliau menekankan perlunya tindakan kolektif dalam kalangan negara-negara untuk menyelaraskan semula tadbir urus global dengan prinsip asal PBB.
“Adalah penting untuk kembali kepada nilai asas keadilan dan kesaksamaan bagi memulihkan kepercayaan dan akauntabiliti di peringkat dunia,” ujarnya.