Bekas Ahli Parlimen Desak Fahmi Fadzil Jelaskan Tindakan Terhadap Isu DNB

Seorang bekas Ahli Parlimen meminta Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menjelaskan tindakan yang telah diambil terhadap kebimbangan berkaitan Digital Nasional Bhd (DNB) selepas beliau dilantik sebagai menteri pada Disember 2022.

Ong Kian Ming berkata, Fahmi, ketika menjadi Ahli Parlimen pembangkang pada tahun 2022, pernah menyeru agar siasatan rasuah dilakukan terhadap kerjasama rangkaian 5G antara DNB dan Ericsson. Seruan itu susulan laporan yang mendakwa syarikat telekomunikasi Sweden tersebut melanggar perjanjian dan menghadapi isu pematuhan.

“Adakah Fahmi meneruskan tindakan terhadap isu ini selepas dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Digital pada Disember 2022? Jika ya, apakah penyelewengan yang ditemui, dan jika benar berlaku, apakah tindakan yang telah diambil?

“Langkah apa yang diambil Fahmi untuk membersihkan perkara ‘menakutkan dan membimbangkan’ yang ditemui di DNB ketika beliau mula-mula menjadi menteri?
“Demi ketelusan, adakah beliau bersedia mendedahkan langkah pemulihan yang telah diambil?” kata bekas Ahli Parlimen Bangi itu melalui beberapa hantaran di platform X.

Ong merujuk kepada kenyataan Fahmi yang mendakwa beliau mendapati situasi di DNB sangat “menakutkan dan membimbangkan”, di mana tiada seorang pun mempunyai pemahaman jelas mengenai aktiviti DNB ketika beliau mula mengambil alih portfolio kementerian.

Semalam, di Dewan Rakyat, Fahmi menyatakan bahawa baik kementeriannya mahupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak mengetahui operasi DNB sewaktu beliau mula dilantik. Malah, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu juga tidak mempunyai maklumat tentang aktiviti DNB walaupun syarikat itu adalah entiti milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Soalan Tambahan Mengenai Ekosistem 5G Malaysia

Bagaimanapun, Ong berkata kenyataan Fahmi gagal memberikan jawapan yang substantif dan hanya menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai ekosistem 5G Malaysia. Ini termasuk isu pelaksanaan rangkaian 5G kedua yang dianugerahkan kepada U Mobile Sdn Bhd.

Ong turut meminta Fahmi menjelaskan bagaimana DNB dan Ericsson berjaya memperoleh beberapa anugerah global seperti Anugerah Ookla dan Futurenet Asia 2024.

Beliau juga menyoal bagaimana DNB mampu mencapai liputan 80% kawasan berpenduduk sebelum tarikh akhir yang ditetapkan walaupun tidak mempunyai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dari Mac 2023 hingga Oktober tahun ini.

“Bolehkah menteri menjelaskan sama ada perbelanjaan RM16.5 bilion yang dilaporkan untuk rangkaian 5G telah digunakan dengan betul, seperti yang dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, semasa perbahasan belanjawan?
“Jika terdapat penyelewengan dalam perbelanjaan DNB, apakah tindakan yang telah diambil?”

Perubahan Portfolio Kementerian dan DNB

Fahmi dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Digital pada 3 Disember 2022, ketika DNB dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke kementeriannya. Bagaimanapun, penyusunan semula Kabinet pada Disember lalu menyaksikan kementerian itu dipecahkan, dengan Fahmi kembali ke Kementerian Komunikasi, manakala Gobind Singh Deo mengambil alih Kementerian Digital.

DNB secara rasmi berada di bawah Kementerian Digital pada 10 Januari tahun ini.

Dalam pada itu Kementerian Digital semalam menegaskan kos berjumlah RM16.5 bilion untuk Digital Nasional Bhd (DNB) membangunkan dan menyelenggara rangkaian 5G pertama selama 10 tahun tidak melibatkan dana kerajaan.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata sebaliknya, DNB menerima suntikan ekuiti sebanyak RM500 juta pada 2021 serta pinjaman pemegang saham berjumlah RM450 juta oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) pada Mei 2023.

“Selain itu, perbelanjaan DNB dilaksanakan melalui pinjaman swasta, termasuk pinjaman bank yang dijamin oleh kerajaan serta sumber-sumber kewangan yang lain,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles