DBP Sokong Penguatkuasaan Bahasa Kebangsaan pada Papan Tanda dan Iklan

KUALA LUMPUR: Perkataan dalam bahasa kebangsaan mesti diberikan keutamaan dari segi saiz dan kedudukan pada papan tanda atau iklan, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam kenyataannya menegaskan bahawa mengikut **Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1982**, semua iklan perlu menggunakan bahasa kebangsaan. Penggunaan bahasa asing pada papan tanda atau iklan dibenarkan, tetapi bahasa kebangsaan mesti diutamakan.

DBP menyokong sepenuhnya tindakan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap pemilik premis yang mempamerkan iklan tanpa lesen sah dan tidak mengutamakan bahasa kebangsaan.

“Amat mengecewakan apabila undang-undang ini dilanggar secara terang-terangan, dengan alasan yang tidak munasabah. Lebih memburukkan keadaan, terdapat pemilik premis yang berani mempamerkan iklan tanpa langsung menggunakan bahasa kebangsaan dan beroperasi tanpa lesen,”kata DBP.

Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, DBP mengingatkan semua pihak agar menghormati undang-undang yang ditetapkan, selaras dengan prinsip Rukun Negara: Kedaulatan Undang-Undang

“Melanggar peraturan ini bukan sahaja mencabuli undang-undang, tetapi juga menunjukkan pengabaian terhadap tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia,” tambah kenyataan itu.

Dalam konteks kepelbagaian budaya di Malaysia, DBP menekankan bahawa pematuhan undang-undang memainkan peranan penting dalam mengekalkan perpaduan dan keharmonian antara kaum. DBP turut menyatakan kesediaan untuk membantu peniaga mematuhi peraturan ini melalui perkhidmatan pengesahan bahasa kebangsaan pada papan tanda dan iklan.

DBP menyediakan perkhidmatan sokongan dan nasihat kepada peniaga melalui Sistem DBP Sah Bahasa (*dbpsahbahasa.my*) dan **Khidmat Nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka (KNDBP)**. Perkhidmatan ini meliputi pengesahan bahasa untuk papan tanda luar, papan premis, gegantung, pelabelan, dan pelbagai bentuk iklan lain.

Tindakan penguatkuasaan DBKL baru-baru ini bertujuan memastikan premis perniagaan mematuhi undang-undang kecil yang ditetapkan. Isu ini menjadi perhatian selepas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing, mengkritik penguatkuasaan DBKL terhadap peraturan papan tanda dwibahasa. Beliau mendakwa tindakan tersebut mencetuskan tindak balas emosi, menimbulkan rasa tidak puas hati, dan mencipta persepsi negatif dalam kalangan pelancong.

DBKL, dalam kenyataannya, menegaskan bahawa tindakan mereka bertujuan memelihara kepentingan bahasa kebangsaan tanpa mengabaikan kepelbagaian budaya di negara ini.

BBerkaitan

Latest articles