Banjir di Terengganu makin buruk

Situasi banjir di Terengganu semakin buruk apabila jumlah mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah meningkat kepada 2,765 orang setakat 8 pagi ini berbanding 212 orang malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan semua mangsa terdiri daripada 603 keluarga itu ditempatkan di 14 PPS.

Daerah Kemaman mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,584 orang daripada 554 keluarga berlindung di lima PPS, manakala 94 orang daripada 25 keluarga berada di enam PPS di Hulu Terengganu.

Seramai 69 orang daripada 19 keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Setiu, 13 orang daripada empat keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Marang.

Dungun yang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir, merekodkan lima mangsa daripada satu keluarga yang dipindahkan ke sebuah PPS.

Laman web rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan paras air Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman setinggi 2.26m, melepasi paras amaran 1.9m.

Empat lagi sungai iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman; Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang; Sungai Nerus di Kampung Bukit Setiu, Setiu dan Sungai Terengganu di Rumah Pam Pulau Bahagia (F1), Kuala Terengganu di tahap waspada.

Pada 14 Nov lepas, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara mengeluarkan ramalan awal banjir dijangka berlaku di pesisiran pantai Kelantan, Pahang dan Johor (Timur) serta seluruh Terengganu mulai Isnin hingga esok.

BBerkaitan

Latest articles