KUala Lumpur — Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan Allahyarham Tun Daim Zainuddin daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan 70 harta selepas pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan pendakwaan terhadap bekas Menteri Kewangan itu.
Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengikut Seksyen 254(3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Pihak pendakwaan tidak berniat untuk meneruskan kes berkenaan kerana Daim selaku tertuduh sudah meninggal dunia.
“Kami berlapang dada, Daim sudah meninggal, pihak-pihak tidak perlu mendapatkan tarikh lain, tidak perlu membuang masa, kita ‘move on’ sahaja,” ujar Wan Shaharuddin.
Ketika membenarkan permohonan itu, Azura turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham selain memerintahkan wang jaminan RM280,000 dikembalikan kepada penjamin.
Pada 29 Januari lalu, Daim didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).
Daim didakwa pada Januari atas tuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan aset yang dikeluarkan oleh agensi anti-rasuah.
Beliau dituduh gagal mengisytiharkan pemilikan dalam 38 syarikat, 19 lot tanah di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah, dan Kuala Lumpur, serta enam hartanah lain.
Daim juga didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Amanah Saham Nasional (ASN), serta tujuh kenderaan mewah.
Kesalahan tersebut didakwa berlaku pada 13 Disember 2023.
Semalam Isteri kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid mahu supaya kes gagal mengisytiharkan harta yang dipertuduhkan terhadap arwah suaminya diteruskan tanpa ditarik balik.
Menerusi satu kenyataan media, Na’imah berkata tidak ada keperluan untuk Peguam Negara (AG) mahupun Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyemak semula atau memberhentikan atau menarik balik pendakwaan terhadap Daim.
“Di sini, saya bagi pihak Allahyarham, ingin menegaskan bahawa adalah menjadi hasrat Allahyarham supaya perbicaraan terhadapnya diteruskan di mahkamah sehingga tamat, walau apapun terjadi kepadanya.
“Daim ternanti-nanti harinya di mahkamah dan penuh yakin bahawa akhirnya beliau akan didapati tidak bersalah. Dengan kata lain, tidak ada keperluan untuk Peguam Negara mahupun Ketua SPRM untuk menyemak semula, memberhentikan atau menarik balik pendakwaan terhadap Daim,” tegas Na’imah.