Polis buru 4 lelaki bersenjata api samun premis beli sawit

SUNGAI PETANI: Polis sedang memburu empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah premis membeli hasil sawit di Kampung Perak Sungkup, Bukit Selambau, pada Ahad lepas.

Ketua Polis Kuala Muda Wan Azharuddin Wan Ismail pihaknya menerima panggilan sekitar pukul 1.50 tengah hari yang memaklumkan tentang insiden samun menggunakan senjata api di lokasi kejadian.

“Sebuah kereta Honda City dilihat memasuki kawasan premis. Tiga suspek lelaki bertopeng dan berpakaian serba hitam turun dari kereta dan meluru ke arah beberapa pekerja di hadapan premis tersebut, manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kenderaan.

“Semasa kejadian, suspek menggunakan pistol dan parang. Seorang daripada mereka memecahkan cermin tingkap dan melepaskan tembakan ke arah siling premis sebelum melarikan diri dengan kereta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Azharuddin berkata bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 04-4236999.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian samun bersenjata di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, pada hari sama.

Wan Azharuddin berkata suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, petang semalam.

“Turut dirampas, seutas rantai tangan yang dipercayai berkaitan dengan kes samun di Bandar Puteri Jaya,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes samun tersebut, selain turut mempunyai 12 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan 10 rekod kesalahan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda, atau sebatan.

Dalam kejadian Ahad lalu, seorang wanita warga emas berusia 68 tahun diancam dengan pisau di rumahnya sebelum suspek melarikan rantai tangan dan cincin emas milik mangsa.

BBerkaitan

Latest articles