4 tentera Malaysia cedera dalam serangan Israel di Lubnan

Beberapa anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt 850-12) yang berlepas ke Lubnan semalam dikhuatiri cedera susulan insiden letupan di negara itu, kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

Bernama melaporkan Khaled sebagai berkata, pasukan itu yang bernaung di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (Unifil) dipercayai cedera terkena serpihan letupan.

Mereka berada di sana bagi menyambung misi pengaman di negara bergolak itu.

Dalam pada itu, Reuters melaporkan, satu serangan Israel di bandar selatan Lubnan, Sidon, membunuh tiga warga Lubnan selain mencederakan tiga askar negara itu, manakala empat askar Malaysia daripada Unifil.

Tentera Lubnan berkata, serangan menyasarkan sebuah kereta ketika melepasi pos pemeriksaan, sekali gus membawa kematian tiga warga Lubnan yang berada dalam kenderaan berkenaan.

Askar yang cedera bertugas di pos itu dengan anggota Unifil yang cedera berada dalam kenderaan pasukan pengaman PBB tersebut, yang pada masa sama melalui pusat pemeriksaan terbabit, menurut kenyataan tentera.

Penghantaran dan penugasan Malbatt 850-12 pertama ke Lubnan berlepas dari Pangkalan Udara Subang, semalam, yang menjadi sebahagian persefahaman dengan PBB bagi misi keamanan di negara berkenaan.

Semalam, Khaled berkata pasukan Malbatt 850-11 ketika ini bertugas di selatan Lubnan dilaporkan selamat.

Katanya, kerajaan khuatir akan serangan udara, namun sejak akhir-akhir ini tiada serangan seumpama itu.

“Selain itu, kawasan yang berada di bawah tanggungjawab anggota terletak sedikit ke dalam dan bukan betul-betul di sempadan antara Lubnan dan Israel,” katanya menurut Bernama.

BBerkaitan

Latest articles