Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menyeru agar hubungan Malaysia-China Dikukuhkan dan turut mempromosikan sentraliti ASEAN dalam menghadapi perubahan global yang semakin mencabar
Berucap di Universiti Peking, China, Anwar turut memuji visi Presiden Xi Jinping untuk menjadikan China sebuah negara “kuat, demokratik, beradab, harmonis, dan moden” menjelang tahun 2049, menyatakan bahawa impian ini akan menyumbang kepada kestabilan global dan keadilan sosial.
Katanya hubungan Malaysia-China telah memasuki tahap yang lebih erat dengan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013, yang merangkumi aspek politik, ekonomi, budaya, dan pertahanan.
Beliau menyatakan bahawa rangka kerja Ekonomi MADANI yang dibawa oleh Malaysia adalah selari dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China, yang memberi penekanan kepada pembangunan inklusif dan mampan.
“Kerjasama Malaysia-China bukan hanya tertumpu kepada sektor tradisional, tetapi juga melibatkan ekonomi digital, tenaga hijau, kecerdasan buatan, dan industri semikonduktor,” katanya, sambil menambah bahawa projek BRI seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi serantau.
Dalam pada itu Perdana Menteri turut menyatakan pendirian Malaysia mengenai Sentraliti ASEAN dan turut memfokuskan kepada Perpaduan Serantau
Katanya Menjelang peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Anwar menegaskan pentingnya prinsip sentraliti ASEAN, di mana rantau ini dapat memainkan peranan dalam memastikan keamanan, keselamatan, dan kerjasama ekonomi tanpa campur tangan kuasa besar. Di bawah tema “Inklusiviti dan Kelestarian,” Malaysia akan menekankan pertumbuhan ekonomi yang seimbang untuk semua negara anggota.
“Kami akan bekerja keras untuk menguatkan perpaduan ASEAN, memastikan semua suara didengar dan keputusan kolektif diutamakan,” ujar Anwar, sambil menambah bahawa Malaysia akan terus mengutamakan penyelesaian kemanusiaan seperti krisis di Myanmar dengan pendekatan dialog bersama negara-negara ASEAN dan rakan antarabangsa.
Sementara itu Perdana Menteri turut menyentuh mengenai Forum Trilateral ASEAN-GCC-China bagi Mengukuhkan Kerjasama Serantau
Dalam ucapannya, Anwar mengumumkan penubuhan forum tiga pihak antara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan China pada 2025. Forum ini bertujuan memperkukuhkan kerjasama strategik dan ekonomi antara Asia Tenggara, Timur Tengah, dan Asia Timur dalam menangani isu-isu global seperti keselamatan tenaga, pembangunan mampan, dan kepelbagaian ekonomi.
Dalam penutup ucapannya, Anwar menyeru semua negara untuk bekerjasama demi membina perkongsian yang matang berasaskan kepercayaan, dialog terbuka, dan tindakan konkrit demi mencapai kestabilan, kemakmuran, dan keamanan global yang berkekalan melalui penghormatan dan kerjasama yang tulus.