Kucing Jalanan Malaysia “Baby” Menang Pertunjukan Kucing Antarabangsa di Oslo, Norway

Seekor kucing jalanan bernama Baby, yang dipelihara oleh pasangan suami isteri, Shaharudin Shuib dan Rooaida Mohd Darus, berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila merangkul gelaran juara dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa di Oslo, Norway, pada Ahad lepas. Kemenangan ini mengukir sejarah apabila Baby, kucing betina berusia sembilan tahun yang berasal dari jalanan, berjaya menawan hati juri dan menewaskan ribuan kucing dari seluruh dunia.

Baby memikat juri bukan sahaja dengan bulunya yang cantik, tetapi juga kerana kejinakan, ketenangan, dan sifat manjanya yang luar biasa. Menurut Rooaida, meskipun Baby hanyalah kucing biasa tanpa baka istimewa, perwatakan uniknya memenuhi kriteria ketat yang ditetapkan dalam pertandingan anjuran Persekutuan Kucing Antarabangsa (Fife) itu.

“Baby telah kami latih dan biasakan dengan persekitaran ramai sejak kecil. Kami sering membawanya menyertai pelbagai pertunjukan tempatan untuk membina keyakinan dan sifat manja dalam dirinya,” ujar Rooaida, yang mengakui bahawa penyertaan kedua mereka di peringkat antarabangsa ini amat berbaloi lapor Berita Harian.

Dalam pertandingan ini, Baby bersaing dengan lebih daripada 1,500 ekor kucing, termasuk beberapa kucing baka khas. Malah, dalam pusingan akhir, Baby bertanding dengan kucing jantan lain milik pasangan tersebut, Miko, dalam usaha merebut gelaran juara mutlak.

Selain Baby, delegasi Malaysia turut membawa lapan ekor kucing lain, termasuk empat kucing baka British Shorthair, tiga kucing jalanan, dan seekor kucing Bengal. Turut bersama dalam delegasi itu adalah Timbalan Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM), Habil Hussain, dan Setiausaha Agongnya, Muhammad Hasbullah Ibrahim.

Menurut Muhammad Hasbullah, pertunjukan antarabangsa ini membuka peluang bagi kucing-kucing dari Malaysia yang berdaftar di bawah KKM untuk bersaing di peringkat global. Beliau juga menyatakan bahawa acara ini bukan sahaja memartabatkan kucing tempatan, tetapi turut menggalakkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga dan menyayangi haiwan peliharaan.

Kejayaan Baby ini menjadi inspirasi bagi pemilik kucing jalanan yang lain, membuktikan bahawa setiap kucing, tanpa mengira baka, mampu bersinar dengan perhatian, kasih sayang, dan penjagaan yang baik.

BBerkaitan

Latest articles