Usahawan fesyen Datin Vivy Yusof, bersama suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, mengumumkan peletakan jawatan mereka daripada platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd. Pengumuman ini dibuat menerusi kenyataan bersama di Instagram, susulan kontroversi penjualan saham Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad dalam FashionValet.
Langkah ini diambil bagi mengelakkan isu berkenaan daripada terus menjejaskan proses pemulihan syarikat. Dalam kenyataan tersebut, Vivy dan Fadzaruddin memohon maaf kepada PNB dan Khazanah serta menegaskan bahawa kedua-dua entiti tersebut sentiasa bertindak profesional dalam menjaga kepentingan organisasi masing-masing.
https://www.instagram.com/p/DB014VnSIZC/?igsh=MWlnbGtmNXVrd2lhdA==
“Kami berharap kekecewaan ini tidak menghalang mereka daripada terus menyokong usahawan tempatan lain. Kami bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan pelaburan ini,” ujar mereka.
Kontroversi ini timbul selepas laporan bahawa pelaburan PNB dan Khazanah dalam FashionValet mengalami kerugian RM43.9 juta. Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut menyatakan bahawa isu ini menjadi perhatian rakyat dengan pelbagai reaksi di media sosial.
FashionValet mengalami cabaran besar termasuk penutupan platform e-dagangnya dalam usaha pengurangan kos, di mana Vivy dan Fadzaruddin mengakui kekurangan perancangan menghadapi risiko perniagaan. Mereka juga menyesali keputusan pengembangan agresif yang dibuat berdasarkan jangkaan pertumbuhan berterusan, meskipun menghadapi pandemik COVID-19.
“Kami kecewa dan memohon maaf atas keadaan yang berlaku. Banyak perkara yang kami harap dapat diubah jika diberi peluang,” kata mereka, mengakhiri kenyataan dengan harapan agar usaha mereka menanam keyakinan pada jenama FashionValet tetap dikenang.