Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa dasar rasionalisasi subsidi yang diperkenalkan oleh kerajaan bukanlah bertujuan untuk mengambil harta daripada golongan kaya bagi disalurkan kepada golongan miskin seperti dalam falsafah Robin Hood. Sebaliknya, dasar ini bertujuan untuk memastikan pengagihan subsidi dilakukan dengan lebih adil, berasaskan tahap pendapatan individu.
Dalam program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), beliau menjelaskan bahawa langkah ini bukan bermaksud menambah cukai tetapi lebih kepada memastikan golongan berpendapatan tinggi membayar harga kos yang sebenar tanpa subsidi. Ini dilihat lebih adil dan dapat menyokong golongan yang lebih memerlukan.
Anwar juga menegaskan bahawa pihak kerajaan akan terus bekerja keras untuk kesejahteraan rakyat walaupun terdapat pihak yang mungkin mempolitikkan isu ini. Beliau menyatakan komitmen untuk melaksanakan dasar ini dengan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat dan negara.
Menurut Anwar, Malaysia adalah antara negara yang menawarkan subsidi yang tinggi dan kadar cukai yang rendah, di mana subsidi tersebut juga diberikan kepada golongan berpendapatan tinggi. Sebagai contoh, beliau menyebut penggunaan tenaga elektrik di mana golongan kaya dengan rumah yang memiliki banyak pendingin hawa turut menerima subsidi.
“Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia ini yang mempunyai subsidi tertinggi dan kadar cukai rendah. Jadi kita berikan subsidi kepada semua orang. Boleh anda bayangkan elektrik sebelum kita laksanakan program rasionalisasi subsidi. Orang kaya di negara ini dapat subsidi.
“Mereka ada 10, 15 pendingin hawa di rumahnya. Maksud saya ini tidak adil Adakah kita kenakan cukai tambahan? Tidak. Saya cuma kata anda bayar kos harga dan jangan terima subsidi. Bagi saya ia adil,” katanya dalam program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Lembaga UPNM, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dan Naib Canselor, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.
Bagi pihak yang mempolitikkan isu berkenaan, Perdana Menteri menegaskan bahawa ia adalah urusan mereka.
Di pihak kerajaan, Anwar menegaskan yang pihaknya akan sedaya upaya untuk meneraju negara ini dengan sebaik mungkin, demi kesejahteraan rakyat.
“Jika mereka ingin jadikan ini sebagai isu politik atau katakan kita tidak adil, itu adalah urusan mereka.
“Saya nak bagi yang saya sudah lama bertarung. Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik. Kita akan laksanakan sebaiknya demi selamatkan negara ini dan selamatkan rakyat terbanyak,” katanya.