Pempengaruh Alif Teega Didakwa Salah Guna Wang Infak, Kes Dipindahkan ke Shah Alam

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini meluluskan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan dua pertuduhan salah guna wang infak melebihi RM63,000 yang dihadapi pempengaruh media sosial, Alif Teega, ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Azura Alwi setelah menerima permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin, yang dikemukakan di bawah Seksyen 61 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Kami memohon agar kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama,” kata Julaila dalam prosiding tersebut.

Peguam yang mewakili Alif, Mohd Shahrullah Khan, tidak membantah permohonan itu, dan turut memohon agar tarikh sebutan awal ditetapkan di Mahkamah Shah Alam kerana pihak pembelaan ingin mengemukakan permohonan pemulangan pasport sementara.

Hakim Azura membenarkan kes dipindahkan, dengan sebutan semula ditetapkan pada hari Rabu di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Alif, atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, didakwa menyalahgunakan wang tunai sebanyak RM36,047.35 yang dikumpul untuk projek Infaq Iftar di Makkah, Syria, dan Palestin pada April lalu, serta RM27,558.13 bagi kempen JOM! SERTAI INFAQ DAGING QURBAN pada Jun. Jika sabit kesalahan, Alif boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun, disebat, dan dikenakan denda.

Selain itu, Alif dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari, 26, juga menghadapi 10 pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dakwaan menyalahgunakan lebih RM1.52 juta wang infak. Kesalahan-kesalahan ini dikatakan berlaku dari Mei 2021 hingga Julai 2023, melibatkan dana yang sepatutnya disalurkan untuk pelbagai projek infak seperti kurma, al-Quran, bantuan banjir, dan pakaian raya untuk anak yatim.

Pertuduhan tersebut juga di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan, serta denda jika didapati bersalah.

Pada 11 Julai lalu, Alif dan Aisyah telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan pecah amanah.

BBerkaitan

Latest articles