Kes tipu jual emas RM7 juta, polis cari Siti Hajartul Haini

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang wanita yang disyaki mendalangi kegiatan penipuan penjualan emas dengan memperdaya orang ramai membeli emas dengan harga murah membabitkan kerugian lebih RM7 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata sejak September lalu, pihaknya sudah menerima 18 laporan polis berkait wanita itu membabitkan nilai keseluruhan kerugian sebanyak RM7.03 juta.

Katanya, melalui siasatan yang dijalankan, suspek dikatakan menjual barang kemas pada harga lebih rendah daripada pasaran semasa iaitu sekitar RM150 hingga RM200 bagi satu gram emas.

“Pembeli yang berminat bagaimanapun perlu menunggu selama beberapa minggu sebelum barang kemas tersebut diperoleh.

“Pada awalnya, pembeli menerima barang kemas yang dijanjikan dan ia mengakibatkan mereka yakin dengan tawaran yang dibuat.

“Bagaimanapun bermula Julai 2024, pembeli tidak menerima barang k emas yang ditempah dan suspek juga telah gagal dihubungi,” katanya.

Ramli berkata suspek yang sedang dikesan itu adalah seorang wanita tempatan bernama Siti Hajartul Haini Abd Hamid, berusia 37 tahun dengan alamat terakhirnya di Jitra, Kedah.

“Siasatan berkait kes ini sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.

“Kita juga mohon orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan suspek untuk tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Ramli berkata maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Zulhakimi Ab Hamid menerusi talian 014-5390552 atau Inspektor Low Pei Yi menerusi talian 012-5381907.

BBerkaitan

Latest articles