PRK Mahkota: Pemimpin parti Kerajaan Perpaduan ucap tahniah kepada Syed Hussien

KUALA LUMPUR: Pemimpin tertinggi parti gabungan Kerajaan Perpaduan mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, atas kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada Syed Hussien Syed Abdullah dan Barisan Nasional (BN) atas kejayaan luar biasa dalam mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Katanya Kemenangan besar ini bukti masyarakat DUN Mahkota yakin dengan keberkesanan muafakat kerajaan perpaduan antara pusat dan negeri, pimpinan saudara Onn Hafiz Ghazi.

Ia juga petanda jelas rakyat terus yakin dengan kerangka dasar dan polisi kerajaan yang menitikberatkan soal ekonomi dan taraf hidup rakyat keseluruhannya kata melalui satu catatan di Facebook Rasminya.

Bagi Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mezahirkan rasa kesyukuran di atas kemenangan calon Barisan Nasional itu.

Syukur Alhamdulillah, segala puji ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam – sekali lagi menganugerahkan kemenangan kepada calon Barisan Nasional yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Syed Hussien Bin Syed Abdullah, dengan majoriti luar biasa melebihi 20 ribu.

” Kemenangan ini adalah legasi jasa yang tidak ternilai Allahyarhamah Sharifah Azizah – yang telah mencurahkan seluruh jiwa raga kepada DUN Mahkota. Jasanya kekal dalam ingatan dan menjadi sumber aspirasi kami untuk terus berkhidmat menyantuni rakyat di DUN ini”

Setinggi-tinggi penghargaan kepada 35,791 pengundi DUN N29 Mahkota yang telah memberikan mandat kepada kami untuk terus menabur bakti di bumi Kluang, Johor yang tercinta ini katanya

Menjengagh di laman Facebook Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula, beliau turut mengucapkan rasa syukur atas kemenangan calon BN di DUN tersebut yang memberikan semula mandat kepada partinya.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas kemenangan BN di DUN Mahkota. Moga kita terus tawaduk, mara dalam saf mantap, bertindak dalam wahdah, kembali berkibar panji BN demi rakyat dan negara,” katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan BN mengekalkan kerusi DUN berkenaan apabila Syed Hussien menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar dengan majoriti besar 20,648 undi.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu.

Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kedatangan Syed Hussien ke dalam keluarga Kerajaan Perpaduan.

“PRK Mahkota ini adalah isyarat jelas bahawa rakyat mahukan keharmonian masyarakat, kestabilan politik dan kemakmuran negara secara umumnya. Inilah juga yang kita tawarkan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, PMX (Perdana Menteri ke-10) kita.

“Sempena melangkaui 22 bulan usia Kerajaan Perpaduan, saya menyeru semua pihak agar menghentikan segala sengketa supaya kita boleh memberikan sepenuh fokus kepada usaha untuk merancakkan ekonomi, membangunkan negara dan membina ummah yang MADANI,” katanya.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di DUN Mahkota yang kekal memberi kepercayaan kepada BN untuk berkhidmat di DUN itu.

“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jentera BN dan semua pihak yang bertungkus lumus membantu memastikan kemenangan saudara Syed Hussien Syed Abdullah,” katanya.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan hari ini turut mengucapkan tahniah dan menyuarakan keyakinan terhadap Syed Hussien dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat DUN Mahkota dengan cemerlang dan penuh dedikasi.

“Kejayaan ini juga menjadi isyarat bahawa rakyat menyokong kepimpinan Kerajaan Negeri Johor di bawah BN yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengucapkan tahniah kepada calon BN yang telah menang dengan majoriti besar itu.

Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching turut merakamkan penghargaan kepada pengundi di DUN Mahkota yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Menang dengan majoriti besar 20,648. Untuk makluman pada Pilihan Raya Negeri 2022, penyandang Mahkota ketika itu menang dengan majoriti 5,166 undi. Hari ini Syed Hussien menang bergaya juga menjadi bukti strategi perpaduan Kerajaan MADANI berjaya,” katanya.

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi serta jentera BN di semua peringkat yang melaksanakan tanggungjawab pada PRK ini.

PRK DUN Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

Pada Pilihan Raya Negeri 2022, Sharifah Azizah yang mewakili BN menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

BBerkaitan

Latest articles