JOHOR BAHRU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menepis dakwaan pembangkang kononnya lawatan delegasi Barisan Nasional (BN) ke negara China untuk diresapi ajaran komunis.
Menurut Speker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu, lawatan ke negara itu bersempena 50 tahun hubungan persahabatan Malaysia-China.
Malah katanya delegasi BN dijemput khas ke China sejak bertahun lalu, bahkan sejak ketika Presiden Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyidin Yassin dan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin masih dalam UMNO.
“BERSATU buat laporan polis kononnya saya dan UMNO diresapi ajaran komunis. Ia berpunca lawatan BN ke China sempena 50 tahun hubungan persahabatan Malaysia-China.
“Inilah masalah mereka. Mereka lupa BERSATU itu juga sekolah politik. Mereka diindoktrinasi jadi ‘bengap’ bila masuk BERSATU.
Termasuklah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Sahruddin Jamal. Patutlah dia boleh jadi MB untuk 10 bulan sahaja. Dia pula buat tuduhan berat. Dia tuduh saya akan sebarkan ajaran komunis di Dewan Johor. Dengan kata lain saya sudah jadi komunis,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Jelas Mohd Puad, BERSATU mungkin tidak tahu di China wujud ribuan sekolah politik, termasuk di Majlis Perbandaran mereka, dan ia dilengkapi hotel bertaraf lima bintang.
Katanya kebanyakan konferen dan perbincangan dibuat di bilik kuliah di sekolah politik ini.
“Bukan kita belajar ideologi komunis. Tajuk dibincangkan ialah pemodenan China, cara China melatih dan memilih pemimpin dan celik media sosial. Memang banyak boleh ditiru dengan pengubahsuaian. Maksud saya ialah mempelajari teknik perkaderan tapi bukan ideologinya.
“Maka tuduhan UMNO diresapi fahaman komunis apatah lagi menuduh saya mungkin menyebarkannya di Dewan Johor amat melampau,” tegasnya.
Semalam, Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis terhadap Mohd Puad yang membawa pemimpin parti itu ke China untuk lawatan sambil belajar.
Pengerusi PN Johor, Dr Sahruddin Jamal dilaporkan berkata, gabungan itu bimbang fahaman komunisme akan menular dalam kalangan ahli UMNO dan juga DUN Johor.