KUALA LUMPUR: Seramai 4,000 peserta dari lebih 140 kelab gendang di seluruh negara bakal mencipta rekod dunia dalam Guinness World Records (GWR) bagi kategori jumlah pemalu gendang pelajaran teramai pada September depan.
Rekod yang dinamakan sebagai ‘Oriental Drums’, The Largest Drumming Lesson’ itu akan dinilai wakil GWR di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 September depan.
Kesemua pemalu yang menyertai acara ini membabitkan murid sekolah, penuntut universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dengan peserta termuda berysua empat tahun dan peserta tertua berusia 90 tahun.
Bahkan program ini mendapat sokongan Kementerian Pendidikan (KPM).
Presiden Pertubuhan Penyelidikan Kebudayaan dan Kesenian Bai Shi Yin berkata, program ini diperkenalkan bagi meraikan ulang tahun ke-50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
“Lebih menarik, acara itu akan disertai peserta pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum lain termasuk Orang Asli.
“Acara ini bukan sahaja meletakkan nama Malaysia dalam GWR sebaliknya mengeratkan hubungan antara kaum di negara ini atas nama seni dan budaya,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pra pelancaran acara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Menjelaskan mengenai acara itu, Shi Yin berkata setiap peserta akan memalu gendang secara serentak dengan alunan ritma dinamakan ‘Oriental Drums’ selama enam minit.
Merupakan ritma gubahannya sendiri, Shi Yin turut memaklumkan ritma Oriental Drums itu membawa tenaga positif kepada masyarakat melalui semangat keharmonian, perpaduan, persahabatan dan saling menghormati antara kaum.
Menurutnya, ritma itu pernah dipersembahkan buat kali pertama di Singapura pada tahun lalu dan ia disifatkan ringkas serta senang untuk dipelajari.
“Mana-mana pihak dan individu yang berminat untuk menyertai acara itu boleh menghubungi talian 0176891116 atau 01622186671 untuk mendaftarkan diri.
“Setakat ini, kami menyasarkan 4,000 pemalu gendang bagi cubaan rekod baharu itu namun, jika jumlah itu melebihi sasaran maka, ia boleh dianggap bonus buat kami,” katanya.
Jelasnya lagi, kategori rekod ‘The Largest Drumming Lesson’ juga telah mendapati persetujuan daripada GWR malah, wakil mereka akan hadir bagi menyaksikan detik bersejarah itu.