Bekas Pensyarah Antara 8 Individu Yang Ditahan Disyaki Terlibat IS

KUALA LUMPUR: Seramai lapan individu, termasuk dua wanita disyaki terlibat dengan aktiviti radikalisme IS ditahan polis pada hujung minggu lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan kesemua mereka ditahan dalam suatu operasi serentak yang dijalankan di Perak, Selangor, Johor, dan Kelantan.

Menurutnya, siasatan awal polis terhadap semua suspek mendapati “wujud ancaman terhadap Yang Di-Pertuan Agong, perdana menteri, orang kenamaan dan pimpinan tertinggi polis,” katanya pada sidang media.

Suspek terbabit, berusia antara 25 dan 70 tahun, daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dan status ekonomi, seperti bekas pensyarah.

Mereka dikatakan menjadi radikal kerana percaya kepimpinan negara yang tidak berteraskan sistem khalifah wajar diperangi.

Mereka ditahan berpandukan Kesalahan Berkaitan Keganasan dalam Kanun Keseksaan. Kes disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma.

Sebelum ini, pada 17 Mei lalu, dua anggota polis terbunuh manakala seorang cedera dalam serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor oleh seorang lelaki.

Saifuddin tidak mengaitkan penahanan ini dengan peristiwa serangan balai polis itu.

“Cawangan Khas buat kerja sepanjang masa,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles