KUALA LANGAT: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM200 juta yang dijangka memanfaaatkan 13,000 belia menerusi program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Anwar berkata, pembiayaan itu disalurkan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi membiayai pelajar mengikuti latihan berasaskan peralihan tenaga, teknologi dan digital, elektrik dan elektronik bernilai tinggi, pertanian dan industri asas tani serta nadir bumi.
Katanya, bidang terbabit termasuk kenderaan elektrik, keselamatan siber, kecerdasan buatan, bahan termaju, teknologi elektronik, mekanisasi ladang serta automasi pertanian dan penternakan.
“Pembiayaan dalam bidang-bidang ini akan menggalakkan institusi TVET membangunkan program latihan selari hasrat kerajaan memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi, serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
“Ini untuk mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi dan globalisasi rantaian nilai yang mengubah sifat pekerjaan dan memerlukan ramai tenaga mahir,” katanya.
Beliau mengumumkan inisiatif itu pada sambutan Hari TVET Negara.
Menerusi Belanjawan 2024, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan RM6.8 bilion bagi memperkasakan bidang TVET, antaranya RM100 juta bagi menyediakan pensijilan profesional diiktiraf industri dan RM1.6 bilion untuk menyediakan 1.7 juta tawaran latihan menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad.