Boikot Hari Merdeka AS, Kerajaan Diingatkan Tidak Hantar Wakil

KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin UMNO,
Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini membuat gesaan kepada kerajaan untuk tidak menghantar menteri atau wakil bagi meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan Amerika Syarikat ke-248 yang dijadual berlangsung di kedutaan negara tersebut di Kuala Lumpur.

Bahkan menurut Khairy, mana-mana pihak yang diundang oleh Kedutaan Amerika Syarikat ke majlis tersebut pada 10 Jun ini supaya tidak berbuat demikian sebagai bantahan kepada apa yang berlaku di Palestin sehingga kini.

“(Datuk Seri) Anwar Ibrahim, jangan hantar menteri ke majlis ini. Rakyat Malaysia yang turut diundang juga tidak seharusnya berbuat demikian,” kata Khairy Jamaluddin dalam perkongsian di Insta Story.

Gesaan itu dipercayai dibuat berkaitan perkembangan terbaharu kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin dan serangan yang dilancarkan oleh rejim zionis ke atas Rafah iaitu satu-satunya kawasan yang dikatakan selamat di Gaza sebelum ini.

Dalam perkongsian lain, Khairy Jamaluddin turut mengkritik kenyataan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang hanya meminta Israel untuk melindungi penduduk ketika menyerang Rafah.

“Dengar sini @usembassykl (Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur), ini (kenyataan Biden) tidak cukup bagus. Paling minimum adalah hentikan penghantaran peralatan ketenteraan kepada Satanyahu (Presiden Israel Benjamin Netanyahu). Sekarang!” kata Khairy.

Israel menyerang Rafah bermula Ahad lalu yang menjadi tumpuan 1.8 juta pelarian daripada seluruh Gaza.

Israel sebelum ini mengatakan Rafah adalah kawasan selamat selepas mengarahkan penduduk dari utara, tengah dan selatan Gaza untuk ‘berpindah’ bagi menyerang dan memusnahkan kawasan berkenaan.

Untuk rekod, serangan Israel telah menyebabkan hampir 36,000 jiwa di Gaza maut kebanyakan adalah bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua selain golongan profesional seperti doktor, wartawan dan pensyarah.

Israel turut memusnahkan hospital, universiti, sekolah, pusat perlindungan, rumah, masjid, gereja dan pelbagai infrastuktur lain di Gaza.

BBerkaitan

Latest articles