KUALA LUMPUR : Pasaran saham tempatan mencatatkan prestasi cemerlang lima bulan pertama tahun ini apabila modal pasaran merekodkan lebih RM2 trilion pada 7 Mei, pencapaian yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Penanda aras utamanya, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turut mengukuh apabila kembali mencatatkan sesi dagangan tertinggi iaitu 1,605.68 mata pada 7 Mei, melebihi 1,600 mata dalam tempoh dua tahun.
Secara keseluruhan, indeks mencatatkan pertumbuhan tahun ke tarikh (YTD) sebanyak 10.4%, menjadikannya antara pasaran saham berprestasi terbaik di Asia.
Malaysia di tangga ketiga di belakang Tokyo (NKY) 14.2% diikuti Ho Chi Minh (VNINDEX) 10.7%. Bangkok (SET) dan Jakarta (JCI) pula masing-masing menunjukkan pertumbuhan negatif dengan -3.0 dan -2.5.
FBM KLCI terus mengukuh apabila merekodkan 1,628 mata dalam dagangan hari ini (20 Mei), menepati ramalan firma penyelidikan ekuiti.
Rakuen Trade Sdn Bhd dalam nota kajiannya melaporkan FBM KLCI boleh bergerak lebih tinggi dalam jajaran antara 1,605-1,635 mata minggu ini, sejajar dengan sentimen bertambah baik dan sokongan belian bersih daripada dana asing.
Pasaran serantau khususnya Malaysia berjaya menarik pelabur asing didorong oleh optimisme mengenai potensi pengurangan kadar faedah oleh bank pusat utama, selain minat terhadap aset pasaran membangun, dipacu saham berkaitan teknologi dan AI.
Petunjuk positif ini mencerminkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh, selain daya tahannya terhadap ketidaktentuan ekonomi global.
Ringgit lemah sejajar mata wang serantau
Mata wang serantau termasuk ringgit menyaksikan trend penyusutan berbanding dolar AS. Ketika ini ringgit berada pada RM4.6845 berbanding dolar AS.
Setakat 8 Mei, ringgit menyusut 3.1% sejajar dengan pergerakan mata wang utama dunia dan sedang pesat membangun.
Turut menunjukkan penyusutan pound sterling (-1.8), dolar Singapura (2.6%), euro (-2.6%), dolar Australia (-3.4%), rupiah (-4.0%), bath (-7.3%) dan yen (-9.3%).
Jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk menangguhkan pengurangan kadar faedah pada 2024 dan faktor global lain seperti kebimbangan konflik geopolitik China menyumbang kepada sentimen penghindaran risiko dalam pasaran, yang berterusan memihak kepada dolar AS sebagai mata wang selamat.
Namun, inisiatif yang diselaraskan oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama GLC dan GLIC, serta penglibatan korporat telah mengurangkan tekanan terhadap mata wang ringgit.
BNM akan terus menguruskan risiko yang timbul daripada pasaran kewangan yang tidak menentu. Dalam jangka sederhana, pembaharuan struktur domestik akan terus memberikan sokongan kepada ringgit.
Berikut adalah prestasi ringgit pada 31 Dis 2023 hingga 8 Mei:
Kukuh berbanding:
- Yen Jepun (JPY): +6.8%
- Baht Thai (THB): +4.4%
- Won Korea Selatan (KRW): +2.4%
- Rupiah Indonesia (IDR): +1.0%
- Peso Filipina (PHP): +0.4%
- Dolar Australia (AUD): +0.3%
Lemah berbanding:
- Euro (EUR): -0.4%
- Dolar Singapura (SGD): -0.6%
- British Pound Sterling (GBP): -1.5%
- Renminbi Cina (CNY): -1.6%
- Dolar AS (USD): -3.1%
Bahan bakar di Malaysia antara terendah
Dari segi bahan bakar pula, Malaysia antara negara dengan harga petrol terendah di dunia berbanding Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya (OPEC+).
Malaysia menawarkan petrol pada harga rendah iaitu RM2.05 setiap liter, walaupun minyak mentah dunia didagangkan pada USD84.36 setong mengikut harga pasaran pada 20 Mei.