KUALA LUMPUR: Tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kuasa veto bagi menolak gencatan senjata senjata membuktikan ia sebagai negara yang tidak mempunyai moral dan secara jelas melanggar semua prinsip dan nilai kemanusiaan.
Gabungan 38 badan bukan kerajaan (Gabungan NGO Malaysia) menegaskan, AS perlu bertanggungjawab ke atas pembunuhan kanak-kanak, wanita dan warga emas di Gaza, sejak perang mula berlaku 7 Oktober lalu.
Semalam, AS menggunakan kuasa vetonya menolak keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap gencatan senjata di Gaza.
“Keputusan AS secara terbuka memihak kepada Israel akan membawa kepada serangan besar-besaran dan berterusan oleh Israel di Gaza.
“AS bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesan kegagalan resolusi yang membawa kepada kesukaran untuk rundingan damai dan penyelesaian dua negara tidak lama lagi.
“Penggunaan kuasa veto AS memberi Israel akses terus dalam melaksanakan penjajahan dan pembersihan etnik secara terbuka dan mengabaikan desakan masyarakat antarabangsa yang ingin melihat penamatan segera terhadap serangan ke atas Gaza,” katanya.
Kecaman tersebut dibuat selaras titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap tindakan Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto menolak resolusi Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat lalu.
Gabungan itu menggesa masyarakat global meningkatkan usaha menekan pihak terbabit sehingga gencatan senjata di Palestin berjaya dilaksanakan.
“Memandangkan usaha ini masih belum berjaya, setiap detik berlalu terlalu perlahan untuk orang awam di Gaza dan setiap wilayah di Palestin mendapat perlindungan dan bantuan kemanusiaan.
“Dengan ini, Gabungan NGO Malaysia menyokong penuh pendirian kerajaan yang menyeru masyarakat antarabangsa untuk terus bersatu menentang tindakan agresif dan tidak bermoral AS.
“Kami berdiri dalam solidariti teguh dengan rakyat Palestin dan mengulangi komitmen teguh kami dalam menyokong setiap inisiatif untuk memperjuangkan hak asasi mereka untuk mendapatkan kemerdekaan kekal,” katanya.
Malaysia Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Global Peace Mission Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Viva Palestina Malaysia antara NGO yang terdapat dalam gabungan itu.
Sehingga kini lebih 18,000 rakyat Palestin maut dalam serangan berterusan tentera Zionis dengan hampir 50,000 lagi cedera.