Dalam UMNO Sendiri, Ada Yang Lebih DAP Daripada DAP – Isham

KUALA LUMPUR: Kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman baru-baru ini terus menjadi medan kritikan mereka yang di dalam parti.

Kali ini Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mendakwa ada kalangan pemimpin UMNO itu sendiri bersikap “lebih DAP daripada DAP”, bahkan menjadi barua parti cauvinis itu sehingga terus-menerus ditolak orang Melayu.

Isham mendakwa ada sesetengah pihak di dalam UMNO mempromosikan DAP secara berlebihan, dan ini pastinya tidak disenangi dalam kalangan akar umbi.

“Sebab kekalahan kita (di PRK Kemaman), ada beberapa orang yang mempromosikan DAP dalam UMNO…cukup-cukuplah jadi ‘penjilat’ DAP. Janganlah bila kepentingan DAP tergugat, kamu yang terkoyak lebih.

“Mereka nak pertahankan DAP sangat, sampai jadi ‘penjilat’ tegar. Itu orang Melayu tak suka.

“Lagi kamu ‘jilat’, lagi kamu pertahan DAP selagi itulah orang Melayu akan ‘reject’ kita dan lagi kita akan kalah pilihan raya. Itu kita kena sedar,” katanya dalam rakaman video dikongsikan di Facebook.

Sabtu lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 37,220 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Raja Affandi mendapat 27,778 undi, merosot berbanding 38,535 undi diterima Ahmad Said pada PRU15.

Menjelaskan lebih lanjut Isham menegaskan dalam usaha memperolehi kembali sokongan dan kepercayaan orang Melayu, adalah penting bagi UMNO kembali kepada penyatuan parti-parti Melayu.

“Kepada anasir-anasir yang dah jadi tali barut parti lain, nak jadi ‘barua’ memecahkan orang Melayu, itu yang kita kena tentang habis-habisan.

“Kita kena sedar dalam Umno dan perbaiki diri kita supaya kita kembali relevan dan dapat sokongan orang Melayu dan usahakan orang Melayu di negara ini bersatu kembali,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles