KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mendakwa DAP mengamalkan tindakan perundangan terpilih dalam soal dakwaan pemimpin parti itu mempunyai kaitan dengan beberapa pemimpin komunis, termasuk ideologi komunisme.
Sehubungan itu Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencabar DAP memfailkan saman terhadap Barisan Nasional (BN), kerana mendakwa dokumen ‘Bahan Kempen Komunikasi BN’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dikatakan menyebut tentang perkara tersebut.
Wan Saiful mendakwa, dokumen itu turut menerangkan tentang salasilah keluarga bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin DAP.
“Ini bukan satu isu yang ditimbulkan oleh Perikatan Nasional (PN) semata-mata jadi sekiranya ada apa-apa tindakan yang hendak diambil, saya menggesa pihak-pihak dari DAP supaya berlaku adil.
“Pastikan ambil tindakan terhadap mereka yang mencetak dan mengedar buku ini,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini.
Kenyataan itu menyusul selepas Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad berdepan dengan tindakan undang-undang atas tuduhan mengaitkan pemimpin DAP dengan keluarga Chin Peng.
Setakat ini, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok telah mengambil tindakan undang-undang ke atas Siti Mastura, selepas didakwa mengeluarkan kenyataan itu ketika berucap di Kemaman, Terengganu baru-baru ini.
“Jangan ambil tindakan undang-undang terpilih,” jelasnya.