KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa wujud usaha hendak melemahkan parti dan Perikatan Nasional (PN) dengan membuat fitnah terhadap dirinya.
Ahmad Faizal mengulas khabar angin di akaun media sosial tertentu yang mempersoalkan kesetiaannya kepada PN dan Bersatu, selain menyifatkan ia sebagai komen tidak produktif atau berniat jahat itu.
Bahkan Ahmad Faizal mendakwa dirinya masih setia dengan perjuangan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan mendakwa akan terus berusaha gigih memperkuatkan parti tersebut selain menjelaskan tidak pernah bersekongkol dengan mana-mana pihak lawan atau menyokong kepimpinan Kerajaan Persekutuan sedia ada.
Malah menurut Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, pihaknya akan terus memperjuangkan nasib rakyat selain yakin PN dan Bersatu kekal komited untuk berkhidmat serta memainkan peranan berkesan sebagai pembangkang yang jujur.
“Dalam keadaan ekonomi mencabar dan isu keselamatan makanan menyaksikan rakyat Malaysia melalui kesukaran ekonomi yang mendesak.
“Di sinilah fokus yang perlu diberikan oleh kedua-dua pihak, tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sehubungan itu Ahmad Faizal meminta pimpinan dan penyokong kedua-dua partinya supaya menangkis khabar-khabar angin serta terus memberi fokus kepada keperluan rakyat.
Tambah beliau, setiap daripadanya mempunyai peranan secara efektif untuk menjadi pembangkang yang memegang amanah mengimbangi kerajaan.
“Negara ketika ini memerlukan penyelesaian kepada isu ekonomi dan kebajikan, saya menyarankan kepada mereka yang menyebarkan khabar angin sebegini supaya memfokuskan tumpuan kepada isu nasional yang lebih memerlukan perhatian serta tindakan.
“Perbuatan menyebar berita palsu yang menghampiri kepada fitnah jahat hanya akan merugikan, malah menambah dosa berat untuk dipikul.
“Pihak yang telah menyebar berita palsu ini hanya akan merosakkan reputasi mereka sendiri, mengaku memperjuangkan parti tetapi sebenarnya telah merelakan diri menjadi alat kepada usaha melemahkan parti,” ujarnya.