CODAM Jadi Penaja Utama Untuk IDMAC 2023 Di USM

GELUGOR: Centre of Digital Assets Malaysia (CODAM), menjadi penaja utama bagi program The 17th ISDEV International Islamic Development Management Conference Islamic Fintech And Management Conference (IDMAC 2023) bertemakan Islamic Fintech And Digital Assets, pada kali ini.

Presiden Centre of Digital Assets Malaysia (CODAM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata CODAM selaku satu badan yang terlibat secara langsung dalam pendidikan membabitkan aset digital percaya bahawa IDMAC 2023 adalah forum terbaik ke arah pembangunan produk-produk yang boleh dihasilkan daripada aset digital yang patuh syariah.

“Apabila adanya program sebegini maka kita terpanggil untuk menjayakan dan menyokong program-program tersebut supaya segala apa yang kita rancangkan berkaitan dengan digital aset dalam negara ini perlulah pada waktu yang sama dilihat dari perspektif Islam itu sendiri…samada ianya melibatkan Maqasid Syariah sendiri dapat dilaksanakan.

“Maka program sebegini yang dihadiri oleh para akademik yang akan melakukan penyelidikan dan sebagainya maka ini adalah satu forum yang amat baik bagi pembangunan produk-produk yang boleh dihasilkan daripada aset digital itu sendiri yang seharusnya menepati Maqasid Syariah itu sendiri pada asasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program IDMAC 2023 bertemakan Islamic Fintech And Digital Assets bertempat di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, semalam.

Hadir sama pada program itu adalah Prof. Madya Dr. Shahir Akram, Pengarah ISDEV, USM; Prof. Dr Muhammad Syukri Salleh, Pengasas ISDEV, USM; Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF); dan Dr. Murni Yusoff, Pengarah 17th IDMAC 2023.

Mengulas mengenai kripto di Malaysia, Dzulkifli Ahmad berpandangan rantaian-blok (blockchain) merupakan teknologi masa hadapan yang perlu diberi penekanan bahkan negara perlu bersedia ke arah pembangunan teknologi tersebut.

Beliau berkata, Malaysia agak terkebelakang dalam perkembangan teknologi mata wang kripto dan rantaian-blok (blockchain) berbanding dengan negara-negara maju lain bahkan di peringkat asian.

“Kita tidak dapat lari daripada pembangunan teknologi itu sendiri sebagaimana kemunculan internet pada masa dahulu. Begitu juga dalam sudut kripto yang berpaksikan atau berasaskan kepada teknologi blockchain (rantaian-blok).

“Maka, bagi saya teknologi blockchain (rantaian-blok) merupakan teknologi masa hadapan yang kita perlu tekankan dan kita perlu sedia bersama dengan teknologi ini.

“Malaysia tidak nampak kedepan dari sudut teknologi kripto dan blockchain (rantaian-blok) itu sendiri. Jadi ini antara perkara-perkara yang salah satu perkara yang perlu diambil serius oleh negara pada masa hadapan,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap persidangan IDMAC 2023 ini dapat membuahkan impak yang besar kepada pembangunan aset digital patuh syariah.

“…Saya juga mengharapkan pada masa hadapan negara untuk lebih menerima tentang perkara tersebut (Islamik Fintech dan Aset Digital) dan menyesuaikan diri kita dengan infrastruktur dari sudut perundangan serta dari sudut teknologi dan sebagainya dalam usaha meningkatkan perkembangan masa hadapan yang menjadi perkara penting buat masa sekarang,” katanya.

Persidangan IDMAC 2023 yang berlangsung selama dua hari bermula 24 Oktober dan 25 Oktober 2023 menjadi platform untuk para akademik dari pelbagai negara berbincang mengenai perkembangan Islamik Fintech dan Aset Digital.

BBerkaitan

Latest articles