Majlis Raja-raja Kecam Keganasan Di Palestin, Mahu Kerajaan Bawa Suara Penyelesaian

KUALA LUMPUR: Majlis Raja-Raja mahu kerajaan Malaysia membela nasib rakyat Palestin dan menyuarakan bantahan terhadap kezaliman rejim Zionis Israel di pentas antarabangsa atas tanggungjawab kemanusiaan dan agama.

Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja juga sepakat mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan, penindasan dan kezaliman rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin apatah lagi ia melibatkan kematian terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata konflik Palestin-Israel yang berlarutan sejak 7 Oktober lalu itu dibincangkan pada sesi Pra-Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-262 di Istana Negara hari ini.

Menurutnya, Majlis Raja-Raja turut menzahirkan rasa dukacita kerana masyarakat antarabangsa dan kuasa-kuasa besar dunia belum mencapai kata sepakat dalam mencari jalan penyelesaian bagi menghentikan konflik tersebut.

Syed Danial dalam satu kenyataan berkata pada sesi Pra-Mesyuarat berkenaan, Majlis Raja-Raja juga menyokong dan berpegang teguh dengan pendirian kerajaan Malaysia selama ini bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel.

“…hak dikembalikan tanah yang dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara serta Masjid Al-Aqsa akan kekal sebagai tempat ibadah umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Raja-Raja juga menyeru rakyat supaya terus bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menghulurkan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban dan penderitaan mereka.

Rakyat tanpa mengira bangsa dan agama diseru berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar konflik terbaharu Palestin-Israel dapat dihentikan segera serta rakyat Palestin dilindungi selain tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Zionis Israel.

“Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja juga menyeru masjid dan surau serta rakyat yang beragama Islam di kediaman sendiri terus mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin,” ujarnya.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-262 berlangsung selama tiga hari mulai hari ini.

Sementara itu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang ke-263 (Khas) akan diadakan pada Jumaat ini.

BBerkaitan

Latest articles