KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu beliau memilih pendekatan untuk memulihkan imej sang saka biru yang dikaitkan dengan gaya hidup yang mewah secara dalaman.
Pendirian itu diambil selepas memegang jawatan nombor satu pasukan berkenaan, bahkan beliau telah mengarahkan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) untuk melihat isu kehidupan mewah pegawai dan anggota polis bagi mengelakkan mereka terpalit dengan sindiket.
Diajukan mengenai tindakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang lantang menegur pihak di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Razarudin berkata hal sedemikian tak perlu dicanang ke pihak luar.
“Tak payah cerita keburukan anak kita (pasukan polis) ada kudis (keburukan), lebih baik pulihkannya secara dalaman,” demikian reaksi Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Baru-baru ini Mohd Shuhaily menegur kehidupan mewah segelintir anggota polis dipercayai hasil bersekongkol dengan sindiket.
Menurut Razarudin, teguran Mohd Shuhaily berpaksikan fokus pimpinan PDRM dan sejak mengambil alih pucuk pimpinan, beliau tidak mengisytiharkan kepada umum susulan dirinya memilih pendekatan untuk memulihkan imej polis secara dalaman.
“Sebelum ini saya sudah berbincang dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay serta Pengarah Jabatan untuk melihat isu pegawai hidup mewah namun bagi saya lebih bagus perkara sebegini kita ambil tindakan dalaman berbanding cerita keburukan itu kepada umum.
“Kalau cerita anak kita (polis) ada kudis, orang akan dakwa ia kusta sekali gus mereka (pihak luar) tidak mahu berkawan dengan kita.
“Lebih bagus kita cerita apabila kita sudah pulihkan kudis (keburukan) anak itu dan berkemungkinan orang luar akan terkejut serta mahu mempelajari cara bagaimana kita ubati kudis tersebut,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Razarudin merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-76 di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1 di Batu Uban di sini, hari ini.
Menurut Razarudin, beliau tidak menafikan wujud segelintir pegawai dan anggota yang bersekongkol dengan sindiket namun jumlahnya sangat sedikit.
“Kalau tanya saya, ada pegawai dan anggota terlibat dengan sindiket? Saya kena cakap ada ini kerana ketika saya memegang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik beberapa pegawai serta anggota dikenakan tindakan di bawah Langkah- langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 susulan bersekongkol dengan sindiket.
“Jika kita lihat, sejak Januari hingga Ogos lalu seramai 90 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan diikuti sebanyak 881 siasatan tata tertib dibuka polis.
“Namun sekiranya dibandingkan dengan jumlah keanggotaan 130,000 polis seluruh negara hanya 0.06 peratus saja terpalit dalam kesalahan dan jumlah ini sangat kecil namun kita akan baiki kelemahan ini,” katanya.
Mengulas lanjut Razarudin berkata, beliau percaya pimpinan tertinggi PDRM termasuk Ketua Polis Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang terlibat dalam salah guna kuasa serta rasuah.
“Saya percaya imej pasukan akan meningkat secara automatik apabila kita perbaiki kelemahan ini (rasuah, salah guna kuasa) sekali gus mengembalikan semula kepercayaan rakyat serta kerajaan terhadap PDRM,” katanya.