Amirudin Tolak Dakwaan Jadi Menteri Kabinet

KUALA LUMPUR: Khabar angin mengatakan bakal menganggotai kabinet Kerajaan Perpaduan ditolak oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau juga memberitahu tidak tahu menahu sumber khabar angin itu.

Amirudin mengulas spekulasi rombakan kabinet seperti yang digembar-gemburkan sejak kebelakangan ini.

“Desas-desus mengatakan saya hendak ke Kabinet ini sejak 2022 dan saya sendiri tak dengar (sebarang perkembangan terbaharu). Apapun, semua keputusan terletak kepada prerogatif perdana menteri,” katanya menurut Utusan Malaysia selepas merasmikan Ekspo Hartanah dan Perumahan Selangor 2023.

Tambah Amirudin yang juga Naib Presiden PKR itu, hal itu pasti dibincangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama kepimpinan parti dan kerajaan perpaduan sebelum melantik anggota baharu Jemaah Menteri.

Terdahulu minggu lalu Presiden PKR itu dilaporkan “sedang berfikir” mengenai kemungkinan merombak Jemaah Menteri.

Dalam perkembangan lain, Amirudin yang juga pengerusi PH Selangor, berkata gabungan itu dan Barisan Nasional belum mengemukakan petisyen untuk mencabar keputusan PRN di empat DUN.

Katanya, beliau masih menunggu jawapan peguam.

Sebelum ini, PH-BN dilaporkan sedang mengkaji untuk mencabar keputusan DUN Dengkil, Gombak Setia, Sungai Kandis dan Taman Medan. Empat kawasan itu dimenangi Perikatan Nasional dengan majoriti kurang 500 undi.

BBerkaitan

Latest articles