Nahas 14 Kenderaan: Pemandu Treler Mengaku Tak Bersalah

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu treler dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini selepas menyebabkan kematian dua individu dalam nahas 14 buah kenderaan, Rabu lalu.

Bagaimanapun Muhammad Izzatul Shafik Mozahari, 29, mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyebabkan kemalangan di Kilometer (KM) 5.7 Jalan Persiaran Utara, Putrajaya pada Rabu lalu.

Pengakuan tersebut di hadapan Majistret Aima Nabila Muhammad Azhar.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki berusia 29 tahun itu memandu secara merbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 10 tahun termasuk denda maksima RM50,000.

Majistret kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000.

Manakala 25 Oktober depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan kes.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Amalina Abu Hanifa menawarkan ikat jamin RM10,000 namun jumlah berkenaan dikurangkan selepas tertuduh merayu jumlah berkenaan dikurangkan.

Dalam masa yang sama tertuduh diarahkan melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.

Dalam kejadian yang berlaku pada 10.15 pagi Rabu lalu, treler yang dipandu tertuduh melanggar barisan kenderaan yang sedang berhenti di laluan terbabit menyebabkan dua penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Faris Haziq Abu Bakar, 25, yang merupakan pekerja Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39, pekerja di Mahkamah Ampang.

Sebagai rekod, pemandu treler berkenaan disahkan tidak mempunyai rekod kesalahan trafik dan ujian air kencing yang dilakukan terhadapnya didapati negatif.

BBerkaitan

Latest articles