Kerajaan Beri Jaminan Bekalan Beras Tempatan Mencukupi, Harga Terkawal

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung harga beras tempatan dan bekalannya seperti yang diperkatakan sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu juga menegaskan harga beras tempatan masih terkawal di pasaran ketika ini, termasuk bekalan beras itu juga yang masih mencukupi.

Penjelasan itu dibuat Mohamad selepas wujud dakwaan peningkatan harga beras putih import.

Dalam masa yang sama beliau berkata tindakan manipulasi beras itu sebelum ini sekadar syak sahaja.

“Harga beras tempatan masih terkawal dan bekalan masih mencukupi,” katanya selepas menghadiri Sesi Dialog Belanjawan 2024 KPKM Bersama Pemain Industri/Pihak Berkepentingan Di Bawah Sektor Padi dan Beras di Mardi, Serdang, hari ini.

Sebelum ini, KPKM mengesyaki wujud tindakan memanipulasi bekalan beras putih tempatan dengan menukarkan bungkusannya kepada kampit beras import.

Mohamad berkata, tindakan itu dipercayai dilakukan segelintir pihak tidak bertanggungjawab demi meraih keuntungan mudah.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan tindakan terbabit segera dibanteras bagi memastikan bekalan beras putih tempatan sentiasa terjamin.

Katanya, ini kerana permintaan terhadap beras putih tempatan yang harganya dikawal kerajaan, mencatat peningkatan agak mendadak susulan lonjakan harga beras import.

BBerkaitan

Latest articles