Fatwa Haram: Muhyiddin Salahkan Media Pula

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kenyataan berkaitan fatwa haram mengundi Suhaizan Kayat diambil dari luar konteks ucapannya di ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai, Sabtu lalu.

Beliau turut mendakwa laporan media itu bertujuan mengelirukan orang ramai.

Kenyataan Muhyiddin itu menyusul beberapa jam selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menjalankan siasatan terhadapnya.

“Saya percaya ucapan saya telah diambil secara di luar konteks dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mengelirukan orang ramai.

“Ucapan saya panjang. Saya menyentuh pelbagai isu yang dihadapi oleh rakyat pada masa ini terutama sekali bebanan kos sara hidup yang gagal ditangani dengan baik oleh Kerajaan PH.

“Kerana itu, saya menyeru kepada pengundi-pengundi di Parlimen Pulai supaya jangan memberi undi kepada calon PH, Suhaizan Kayat. Saya tidak mengeluarkan fatwa hukum syarak bahawa haram mengundi calon PH,” katanya dalam satu kenyataan lewat petang tadi.

Sebaliknya, menurut Muhyiddin, intipati ucapannya pada malam tersebut hanyalah kiasan dan tidak mempunyai niat untuk mengaitkan perkara itu dengan fatwa.

Bahkan Muhyiddin mendakwa dirinya faham hal-hal agama, apatah lagi berkaitan hukum.

“Saya tahu apa yang saya sebut itu bukanlah fatwa hukum syarak, saya selepas itu menyebut “ada esok ni yang mencabar saya ni ikut fatwa mana.

“Sebagai seorang yang faham tentang hukum-hakam agama, saya tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang fatwa agama. Apatah lagi di negara kita terdapat badan-badan tertentu seperti Majlis Fatwa yang mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan fatwa selepas mengadakan muzakarah dengan para ulama dan ilmuwan yang pakar dalam bidang-bidang yang berkaitan,” katanya lagi.

Sewaktu berucap pada ceramah PN di Kempas, Johor Bahru, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu dikatakan telah ‘menjatuhkan’ hukum haram untuk mengundi Suhaizan Kayat yang juga calon Pakatan Harapan (PH) dalam PRK itu, Sabtu ini.

Muhyiddin mendakwa ia sebagai menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan Kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.

Hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan polis telah menjalankan siasatan terhadap Muhyiddin berkaitan ‘fatwa’ politik dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kempas, Johor, Sabtu lalu.

Malah temu janji untuk rakaman percakapan Muhyiddin telah ditetapkan pada 11 September ini.

BBerkaitan

Latest articles