KUALA LUMPUR: Sokongan pemimpin Barisan Nasional (BN), terutama di peringkat cawangan amat diperlukan dalam menyampaikan kefahaman kepada ahli parti berhubung kerjasama Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Itu harapan Calon Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Kulai, Suhaizan Kayat dalam tempoh berkempennya.
Suhaizan memberi jaminan untuk menggunakan tempoh sepanjang berkempen untuk berjumpa dan beramah mesra dengan ahli-ahli BN dan UMNO untuk mengeratkan lagi kerjasama semasa berkempen dan mendekati ahli parti gabungan itu.
“Saya dalam pertemuan UMNO negeri bersama Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini beliau sendiri menyatakan untuk menjelaskannya pada akar umbi UMNO. Kalau saya pihak luar yang menerangkan mungkin sedikit sukar tetapi kalau Datuk Khaled dan Datuk Seri Ahmad Maslan yang rapat dengan rakyat saya kira di Johor banyak tokoh UMNO boleh jelaskan.
“Sebelum ini penerangan ini tidak begitu mendalam tetapi kalau penerangan itu sampai ke cawangan dan turun ke akar umbi dan saya rasa ia akan beri penerangan lebih jelas kepada UMNO dan akar umbi,” katanya selepas memberikan ceramah dan kempen di bilik gerakan PH-BN di DUN Perling malam tadi.
Dalam pada itu, Suhaizan turut berjanji akan menjalankan amanah Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam mendepani cabaran sekiranya diberi peluang dan mandat.
“Memang Datuk Seri Salahuddin telah memberikan amanah kepada saya untuk menjaga kawasan Pulai. Saya kira ini peluang parti untuk saya teruskan legasinya sama ada di Parlimen Pulai dan seluruh negara.
‘‘Ini termasuklah merancang aktiviti untuk menjayakan isu melaksanakan perumahan, pendidikan sosial pembangunan insan dan lain lain lagi untuk teruskan usaha itu termasuk program Rahmah,” jelasnya.
PRK Parlimen Pulai menyaksikan Suhaizan bakal bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.