KUALA LUMPUR: Kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan perlu dipertahankan untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini memudahkan lagi masalah rakyat diselesaikan,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada program Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah di Dataran Kampung Pachitan, malam tadi.
Aminuddin, sebelum ini pernah disebut bakal menggalas tanggungjawab yang sama sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Dalam ucapannya juga, Anwar menyifatkan Port Dickson sebagai kawasan yang paling istimewa manakala penduduknya berjasa kepada beliau.
Malah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menepis menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya beliau ‘lari’ dari Port Dickson ke Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Port Dickson sudah kuat dan calon baik, saudara Aminuddin saya serahkan. Saudara, kawan-kawan kena tahu ini, ini ujian pertama boleh bertanding jadi, saya tidak boleh lupa Port Dickson,” jelasnya.