PRK Pulai, Simpang Jeram Diadakan 9 September

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan pada 9 September 2023.

Ia berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh selain menambah, hari penamaan calon dijadualkan pada 26 Ogos manakala undi awal pada 5 September 2023.

Untuk itu, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK Parlimen Pulai dan PRK DUN Simpang Jeram, Johor akan dibuka bermula hari ini, 3 Ogos 2023.

Tambahnya, PRK Parlimen Pulai dianggarkan menggunakan peruntukan sebanyak RM4.5 juta manakala PRK DUN Simpang Jeram dianggarkan sebanyak RM1.5 juta.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Parlimen Pulai dan Dewan Negeri Simpang Pulai, Johor adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2023 yang dikemaskini sehingga 23 Julai 2023.

Jumlah DPPR bagi PRK Parlimen Pulai seramai 166,653 orang pemilih yang terdiri daripada 165,700 orang pengundi biasa, 927 orang polis dan 26 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Manakala DPPR bagi PRK Dewan Negeri Simpang Jeram pula mengandungi seramai 40,379 orang pemilih yang terdiri daripada 40,373 orang pengundi biasa dan enam orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Para pengundi bagi kedua-dua PRK ini boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124.

Semakan maklumat pengundian akan mula dibuka pada 21 Ogos 2023 (Isnin).

BBerkaitan

Latest articles