Saya Tak Macam Muhyiddin, Bila Ada Usul Tak Percaya Terus Umum Darurat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka sekiranya pembangkang mahu membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Anwar menambah beliau turut menjamin usul itu tidak akan ditolak oleh speaker Dewan Rakyat.

Malah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga menegaskan beliau tidak seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

“Saya tidak sekat jika PAS atau Bersatu kalau mahu bawa usul itu di Dewan Rakyat. Saya bukan macam Tan Sri Muhyiddin Yassin, bila ada usul itu terus umum darurat.

“Silakan, saya beritahu speaker Dewan Rakyat tak cukup dua minggu, tiga hari notis pun boleh, sila bawa tapi tak ada pun,” katanya ketika berucap pada program Arus Merah Kuning, malam tadi.

Dalam ucapan yang sama, Anwar menasihatkan pembangkang untuk tidak bersikap angkuh kononnya akan mengambil alih kerajaan pusat menjelang Ogos ini.

“Saudara, kita ada sokongan yang kukuh, tak perlu ‘gebang’ (sembang besar) konon mahu ambil alih kerajaan, susah harapan kamu itu mahu terlaksana kerana kerajaan hari ini kuat.

“Saya ambil alih November lalu, Presiden PAS (Tan Sri Abdul Hadi Awang) kata tiga bulan sahaja bertahan tapi ia tak berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menyindir Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri kerana boros membelanjakan wang rakyat sehingga RM38 juta demi baik pulih Kompleks Seri Perdana.

Dakwa Anwar, Muhyiddin seorang pemimpin yang hipokrit kerana berlakon memperjuang agama dan bangsa namun tindakannya menidakkan hak rakyat yang dihimpit kemiskinan.

“Peranan Muhyiddin ini penting tapi dia buat apa? Dia pergi baiki Sri Perdana sampai jadi macam istana dengan kos belanja RM38 juta.

“Mana para ustaz PAS? Bukankah ada antara rakyat yang tak cukup makan, orang tak ada kerja, orang miskin tapi kamu (Muhyiddin) lebih pilih baiki Sri Perdana. Allahuakbar, apa jenis manusia beliau ini,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar menyeru para pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri menolak pemimpin yang menjarah wang rakyat demi kepentingan peribadi.

BBerkaitan

Latest articles