PH Sarawak Pertahan King Sing, Nafi Menteri Ada Agenda Peribadi

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) Sarawak yakin tiada kepentingan peribadi dalam insiden membabitkan Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya, Datuk Seei Tiong King Sing di KLIA dan dakwaannya mengenai aktiviti rasuah yang melibatkan Jabatan Imigresen.

Setiausaha PH Sarawak, Alan Ling, berkata tindakan King Sing itu dilakukan selepas mengetahui kesukaran yang dihadapi seorang warga China yang cuba memasuki negara itu.

“Setiap menteri, timbalan menteri dan penjawat tertinggi kerajaan mesti kerap ‘turun padang’ walaupun tanpa makluman awal supaya mereka dapat melihat keadaan sebenar di lokasi.

“Jangan rancang lawatan rasmi di mana segala-galanya dipersembahkan dengan baik, maka lawatan anda tidak akan ada tujuan kecuali sebagai formaliti semata-mata,” katanya yang dipetik dalam laporan Borneo Post.

Alan, yang juga setiausaha DAP negeri, berkata beliau juga memahami bahawa semua warga China perlu mendapatkan visa sebelum masuk ke Malaysia, kerana mereka tidak layak mendapat kemudahan visa semasa ketibaan.

“Seorang pegawai Imigresen biasanya orang pertama yang ditemui warga asing selepas mendarat di lapangan terbang. Oleh itu, pegawai ini mestilah mesra dan beretika semasa mengesahkan dokumen pelawat. Ia harus dilakukan secara profesional dan tanpa prejudis terhadap mana-mana warga asing,” katanya.

Ling menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) memastikan kakitangan Jabatan Imigresen di lapangan terbang dan semua pusat pemeriksaan tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh mencemarkan imej negara.

Beliau turut mencadangkan supaya prosedur operasi standard (SOP) yang disemak semula diguna pakai dalam mengatasi segala negatif dan persepsi buruk yang dilemparkan kepada jabatan itu, terutama dalam berurusan dengan pelancong di sempadan dan pusat pemeriksaan.

“Jabatan Imigresen sepatutnya menerima penemuan dan pendedahan menteri (Tiong) secara terbuka dan melakukan penilaian kendiri, selain mendengar kebimbangan yang dibangkitkan masyarakat umum,” katanya.

Pada Jumaat, King Sing membuat dakwaan budaya rasuah membabitkan Jabatan Imigresen yang meminta bayaran RM3,000 untuk membebaskan pelancong yang ditahan dan tambahan RM3,000 untuk pulang segera ke negara asal.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan berkata akan bertemu King Sing hari ini berhubung dakwaan rasuahnya dalam kalangan pegawai imigresen di KLIA.

BBerkaitan

Latest articles