KUALA LUMPUR: Keselesaan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan negeri Selangor selama beberapa penggal bakal tergugat, akibat adanya Barisan Nasional (BN) sebagai ‘penumpang’ di kerajaan pusat.
Bekas Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar juga menggesa Perikatan Nasional (PN) mengambil peluang ini untuk menawan Selangor dan menjadi kerajaan negeri yang baru.
Noh, yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang turut mendakwa BN kini sudah hilang kehebatannya sejak kebelakangan ini.
“Kalau UMNO jadi penumpang, mana kehebatan BN? Justeru, hari ini PN mesti bangkit menggantikan BN. Saya percaya dengan semangat PN dan kerjasama ditonjolkan ini, PN akan menang PRN akan datang.
“Hari ini apabila Bersatu bersama, saya yakin PN lebih kuat daripada dulu. Insya-Allah saya terus bersama PN dan terus memberikan sokongan (kepada PN). Matlamat saya senang sahaja iaitu nak Selangor baharu yang dipimpin PN jadi kenyataan,” katanya semasa berucap di ceramah perdana Jelajah Selangor Baharu: Kita Bangkit anjuran PN Selangor di perkarangan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) malam ini.
Turut hadir Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berucap di hadapan penyokong PN, Noh turut kecewa kerana tindakan parti lamanya yang sanggup bekerjasama dengan PH yang dianggap musuh BN selama ini.
Beliau juga menyatakan rasa sedih kerana beberapa kerusi UMNO bakal hilang pada PRN nanti.