‘Pakatan Korup’ – Ahmad Zahid Gesa UMNO, BN Tidak Layan Tony Pua

KUALA LUMPUR: UMNO menyambut baik kenyataan balas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berhubung dakwaan ‘pakatan korup’ seperti yang disebut oleh Tony Pua.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga menasihatkan ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk tidak melayan kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP itu.

Apatah lagi Anthony sendiri menyatakan bahawa kenyataan Tony itu tidak mewakili DAP.

“Jika setiap isu ditimbulkan kita bereaksi ini akan menampakkan masalah itu masalah besar sedangkan itu bukan masalah yang utama kerana ia tidak menjadi dasar atau pegangan atau ketetapan mana-mana kepimpinan parti.

“Pegangan kami perundingan dijalankan antara BN dan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan jentera UMNO di Wisma UMNO Negeri Sembilan, hari ini.

Turut hadir, timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Tony membuat kenyataan itu ketika berucap pada satu majlis anjuran DAP semalam.

Bukan itu sahaja, Tony juga berharap PH akan membentuk kerajaan tanpa melibatkan UMNO dan BN sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Bagaimanapun kenyataan Tony itu disanggah Anthony dalam satu kenyataan, sambil mengingatkan Tony tidak sepatutnya membuat ucapan yang berunsur serangan terhadap BN yang kini merupakan sekutu DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid turut menghargai kenyataan Anthony bahawa beliau juga tidak mengiktiraf pandangan yang berbeza daripada Tony sebagai pendirian partinya.

“Kami juga berpendirian biar kita bergerak ke hadapan. Jangan membaling batu di rumah kaca,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles