PKR Puji UMNO, Rundingan Kerusi Untuk PRN Berjalan Lancar

KUALA LUMPUR: Setiausaha agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan perbincangan kerusi melibatkan PKR dan UMNO dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai mudah dan lancar.

Bahkan beliau turut membuat perbandingan situasi yang sebaliknya berlaku semasa PKR dan PAS, ketika bekerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR) beberapa tahun lalu.

Saifuddin, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata mudah berurusan dengan UMNO kerana pemimpin Barisan Nasional (BN) lebih bersikap terbuka berbanding PAS yang cenderung membuat “kejutan” apabila rundingan dianggap sudah selesai.

Saifuddin menganggotai jawatankuasa PKR untuk rundingan agihan kerusi bagi PRU sejak tahun 1999.

“Perkara paling penting ialah sebaik anda bersetuju dengan sesuatu, jangan jadi pengkhianat. Dalam sejarah kita dengan PAS, mereka telah mengkhianati kita.

“(Pada PRU 2013) kita tewas di kerusi DUN Kota Damansara. Calon kami kalah kerana PAS memutuskan untuk meletakkan calon dan Umno menang,” katanya.

Selain PKR dan PAS, turut menganggotai PR ketika itu adalah DAP.

Dalam pada itu Saifuddin berkata, hubungan dengan PAS jauh lebih baik ketika ia diterajui pemimpin seperti Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Fadzil Noor dan Datuk Haron Din.

Saifuddin berkata, PAS yang diketuai Tan Sri Abdul Hadi Awang bukan parti dikenalinya kerana pemimpinnya mengambil laluan agama dan menyamakan perbezaan politik dengan pertikaian agama.

Katanya, lebih baik Perikatan Nasional (PN) berkempen menentang kerajaan berdasarkan dasar dan program berbanding menggunakan royalti, kaum atau agama (3R).

Tetapi, beliau menjangkakan isu 3R akan dimainkan pembangkang khasnya menjelang PRN di enam negeri.

BBerkaitan

Latest articles