Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Bhd menyambut baik pengumuman Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan daya saing pasaran modal Malaysia.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata langkah jangka pendek dan sederhana itu memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama yang penting untuk pertumbuhan dan pasaran modal di Malaysia antaranya meningkatkan daya saing negara bagi memperkukuh keyakinan pasaran dan pengawal selia pasaran.
Antara langkah yang diumumkan adalah kerjasama antara Kementerian Kewangan (MOF) dan SC untuk meluaskan definisi pelabur sofistikated dengan melibatkan pelabur mangkin.
Bursa Malaysia dan SC menjelaskan kedua-dua pihak komited untuk meneroka kaedah untuk mengurangkan pergeseran pasaran dan memendekkan masa ke pasaran untuk tawaran awam permulaan.
Pengerusi SC Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata turut disasarkan adalah memperkasa penerbit dan pelabur dengan mewujudkan persekitaran mesra perniagaan menerusi sokongan dan insentif yang relevan.
“SC optimis bahawa usaha-usaha ini akan mewujudkan paasran modal yang lebih rancak untuk memacu pertumbuhan ekonomi di negara ini,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift pula berkata langkah berkenaan akan meluaskan pilihan pelaburan mampu milik kepada rakyat dan meningkatkan minat pelabur ke pasaran Malaysia, sekali gus menjadikan Bursa Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk penjanaan dana.
“Kami yakin langkah yang disarankan ini dan inisiatif pembangunan sedia ada akan mendorong aktiviti pasaran dan mewujudkan persekitaran pasaran yang lebih dinamik dan mempunyai kecairan.
“Pasaran modal yang mempunyai kecairan dan berprestasi kukuh memberikan manfaat besar kepada banyak pihak berkepentingan dan ekonomi secara keseluruhannya,” katanya.
Pengawal selia pasaran modal itu menjelaskan akan meneruskan kerjasama erat dengan MOF, rakan kongsi industri dan badan lain yang berkaitan untuk meninjau langkah holistik seterusnya bagi memastikan pasaran modal yang inklusif dan mampan.
— BERNAMA