KUALA LUMPUR: Pengguna bakal menikmati pengalaman baru dan menarik sepanjang membeli-belah di pasar raya, dengan kewujudan troli beli belah pintar atau ezyCart.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata revolusi industri peruncitan membolehkan pengguna memperolehi maklumat barangan dan produk di skrin pada troli, promosi jualan dalam kedai dan pilihan membuat pembayaran terus.
Ezycart merupakan hasil pembangunan NanoMalaysia Berhad dengan kerjasama Retailetics yang merupakan sebuah syarikat penyedia penyelesaian automasi runcit berdasarkan kecerdasan buatan atau AI.
“Inisiatif teknologi baru ini dapat menyepadu, mempertingkatkan dan mendigitalkan perniagaan sedia ada. Inisiatif ini juga mampu menghasilkan penyelesaian global yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya ketika berucap majlis perasmian.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NanoMalaysia Berhad, Dr Rezal Khairi Ahmad dan Pengasas bersama Retailetics Sdn Bhd, Shaji Rajapoan dan Manirajah Kulanthavelu.
Lih Kang berkata, sasaran projek ezyCart adalah kumpulan peniaga dan pengguna selain pihak berkepentingan yang berpotensi menjalankan kerjasama.
“Maklumat seumpama ini mampu meningkatkan nilai produk sesebuah jenama, bilangan pengunjung, nilai jualan dan menarik pelanggan kembali ke pasar raya yang berkenaan,” ujarnya.
Sementara itu, Redtick adalah rangkaian pasar raya pertama di Malaysia yang menggunakan troli beli belah pintar berkenaan.