Selepas Hishammudin, Noh Pula Persoal Keikhlasan Ahmad Zahid Berhubung Penggantungan, Pemecatan Pemimpin Parti

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar memberitahu beliau tidak akan membuat rayuan atas pemecatan yang dibuat oleh UMNO pada Januari lalu.

Dalam masa yanv sama bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu juga mempersoal keikhlasan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menerima kembali beliau, maka parti itu harus membatalkan pemecatannya.

Kenyataan Noh itu merujuk kepada ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bahawa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti bersifat terbuka atas saranan perwakilan untuk menerima kembali ahli yang telah dikenakan tindakan disiplin sama ada dipecat ataupun digantung oleh parti.

“Kalau betul-betul Presiden (Ahmad Zahid) ikhlas, maka kena batalkan secara automatik penggantungan dan juga pemecatan kami. Keputusan yang dibuat oleh Presiden menggantung dan memecat pemimpin UMNO ini ialah ultra vires ertinya di luar kuasa undang-undang.

“Saya tidak perlu merayu sebaliknya MT hendaklah membatalkan keputusan pemecatan dan menerima kembali keahlian saya secara automatik. Pemecatan dan penggantungan kami adalah tidak sah kerana Presiden tidak mengikut peraturan dan perlembagaan parti,” katanya menerusi rakaman video Facebook, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, UMNO mempunyai Perlembagaan dan peraturan yang perlu dipatuhi sebelum menerima semula ahli yang dipecat atau digantung.

Kenyataan Ahmad Zahid itu juga turut mengundang reaksi daripada Datuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dikenakan tindakan penggantungan selama enam tahun

Ahli Parlimen Sembrong itu mendakwa, gesaan yang disuarakan Ahmad Zahid itu sebagai canggung kerana bekas Naib Presiden UMNO itu tidak tahu punca beliau digantung parti.

Dalam pada itu, Noh berkata, pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin sebelum ini termasuk beliau adalah tidak sah.

Ini kerana, katanya, mengikut peraturan UMNO apabila seseorang itu mahu diambil tindakan displin ia perlu melalui Lembaga Displin.

“Dia (Ahmad Zahid) menipu MKT mengatakan bahawa dia telah berbincang dengan Lembaga Dislpin.

“MKT mesyuarat hari Sabtu, saya dipanggil oleh Lembaga Displim pada Isnin. Malam mesyuarat MKT terus buat keputusan menggantung saya selama enam tahun, sebab itulah saya tidak puas hati mengapa tidak mengikut peraturan.

“Kalau UMNO ini hendak diurus mengikut kehendak seseorang maka lebih baik saya dipecat daripada UMNO kerana kena ingat UMNO bukan hak milik Presiden tetapi ia dimiliki lebih 3.5 juta ahli.

“Jangan ingat UMNO ini kita punya, kalau Presiden waktu memecat kami tidak mengikut peraturan, mengapa bila nak merayu nak mengikut peraturan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles