GEORGETOWN: Mengambil kira keperluan bagi bidang perubatan, pergigian dan farmasi di negara ini, kerajaan akan meneruskan program tajaannya di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan satu perjumpaan bersama dengan JPA diadakan untuk memperhalusi isu berkenaan.
“Saya telah ada satu perjumpaan khas dengan JPA minggu lalu dan dalam pertemukan itu mereka kata dasar sedia (hentikan tajaan) ada adalah dasar yang lalu
“Jadi, saya minta kaji semula berdasarkan unjuran kita yang mana keperluan sektor perubatan, pergigian dan farmasi itu masih ada.
“Dan keputusannya, program biasaiswa JPA untuk sektor-sektor ini akan diteruskan,” katanya pada program Temu Anwar di Dewan Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Reaksi Anwar itu diberikan sebagai menjawab soalan seorang peserta program berhubung keputusan kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.
Baru-baru ini media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 melaporkan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara kepada jumlah populasi penduduk sehingga Disember 2021 adalah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 akan dapat dicapai pada 2025.
Katanya, bekalan pegawai perubatan pada tahun 2021 dicatatkan berjumlah 72,812, berbanding permintaan iaitu berjumlah 70,721.
“Bekalan pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan memenuhi keperluan permintaan masing-masing pada tahun 2025 dan 2029.