Anwar umum peruntukan RM3 juta selesai isu air di UMS

Kota Kinabalu : Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menyelesaikan masalah air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuklah pelaksanaan projek penggerudian air bawah tanah dan pusat rawatan air bawah tanah dan air hujan.

“Saya mahu sebut disini, dalam keadaan sukar selepas saya ambil alih jawatan Perdana Menteri dalam keadaan hutang negara sebanyak RM1.5 trilion. Kalau minta wang bukan semudah itu tapi saya bercakap secara relevan.

“Jadi saya luluskan RM3 juta untuk projek penggerudian air ini. Saya tidak mahu anak-anak ini yang saya anggap seperti anak saya mahu mandi pun susah air tidak ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Temu Anwar di Dewan Canselor UMS di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Dato Mohammad Yusof Apdal.

Anwar berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS Jeeva Cassandra Abdul Mumin yang bertanyakan soalan mengenai isu air yang melanda universiti berkenaan.

Selain itu, Jeeva turut mengemukakan beberapa soalan kepada Perdana Menteri.

Anwar berkata, tanggungjawab bagi memastikan kebajikan mahasiswa dan mahasiswi termasuk kakitangan universiti adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

“Jangan ganggu mahasiswa dan mahasiswi, jangan ganggu kakitangan. Itu tanggungjawab Kerajaan Persekutua.

“Terima kasih presiden, beberapa hari ini wang itu akan disalur bersama Kerajaan negeri. Naib Canselor UMS, esok buat surat dan kos yang terlibat,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri lebih 5,000 pelajar dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) sekitar Kota Kinabalu termasuk orang awam

BBerkaitan

Latest articles