UMNO tidak pernah tinggalkan perjuangan Melayu, Islam – Zahid

UMNO tidak pernah meninggalkan perjuangan agama Islam, Melayu dan Bumiputera apabila mengambil keputusan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November lalu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO perlu menerima realiti baharu mempertahankan kemajmukan masyarakat di samping mengekalkan perjuangan asal Melayu dan Islam di negara ini.

“Kita mesti memikul satu tanggungjawab bahawa Sunnahtulllah telah menentukan sebagai sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, kita mesti menyantuni semua.

“Sebab itu kita dapat menggarap perpaduan dalam kalangan kita.

“Kita masih mengekalkan semua elemen sedia ada di dalam Perlembagaan kita untuk kongsi terutamanya dengan generasi muda kita.

“Mereka ini pasti mewarisi kepimpinan sedia ada sekarang suatu ketika nanti,” katanya kepada pemberita di lobi Menara Dato’ Onn, di sini, semalam.

Terdahulu Ahmad Zahid menyampaikan Amanat sempena Ulang Tahun UMNO ke-77 di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, malam ini.

Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata, UMNO tidak pernah meninggalkan perjuangan untuk mensyumulkan Islam dan orang Melayu di negara ini apabila bersama Pakatan Harapan (PH).

“Kita tidak pernah tinggalkan pun malah kita perkasa dan perkukuhkan perjuangan Melayu dan Islam tanpa kita meninggalkan kemajmukan kita di negara ini.

“Adakah dengan kemajmukan ini yang turut kita gendong, maka kita tinggalkan akar umbi kita sebagai orang Melayu sebagai rumpun Melayu atau kita meninggalkan Islam dengan menyantuni kemajmukan di negara kita,” katanya.

Katanya, walaupun orang Melayu adalah kaum terbesar di negara ini, namun penyatuan lebih penting melibatkan semua pihak.

“Hakikat dan realitinya Melayu dan Islam di negara ini mengikut demografinya ada dalam 70 peratus. Yang penting bukan jumlah dan peratusan yang tinggi.

“Yang penting adalah penyatuan hati dalam kalangan orang Islam dan Melayu tanpa mengetepikan bangsa dan agama lain,” katanya lagi

BBerkaitan

Latest articles